Cubaan seludup migran tumpas, 45 individu termasuk dua tekong dicekup

Iklan
Sindiket penyeludupan migran yang menawarkan khidmat haram melalui media sosial tumpas menerusi serbuan di persisir pantai Kampung Tebuk Jawa, Sabak Bernam pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Sindiket penyeludupan migran yang menawarkan khidmat haram melalui media sosial tumpas menerusi serbuan di persisir pantai Kampung Tebuk Jawa, Sabak Bernam pada Jumaat.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, pasukan Taskforce Delta telah menahan seramai 43 warga Indonesia dalam serbuan pada jam 5.30 pagi.

Iklan
Iklan

"Kita menahan 31 lelaki, 12 wanita serta dua lelaki berperanan sebagai tekong, kesemua individu berusia 20 hingga 40 tahun ditahan ketika menaiki sebuah bot nelayan yang cuba menyeludup keluar ke Indonesia.

"Kita turut merampas sebuah bot nelayan, dua telefon bimbit yang digunakan dalam aktiviti penyeludupan migrin, nilai rampasan dianggarkan RM51,000," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Briged Tengah PGA di sini pada Isnin.

Iklan

Hakemal berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua migran itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

"Sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM1,000 hingga RM3,000 bagi setiap individu yang diseludup keluar dari negara ini," katanya.

Iklan

Hakemal berkata, pihaknya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat laman sosial sindiket penyeludupan migran yang menawarkan perkhidmatan itu.

"Kita turut menjalankan siasatan berkaitan penglibatan warga tempatan dengan sindiket terbabit.

"Kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Sementara itu Hakemal berkata, sejak penubuhan pasukan Taskforce Delta pada 11 Ogos lalu telah melaksanakan pelbagai pendekatan strategik dalam membanteras jenayah penyeludupan migran di perairan Selangor hingga Johor.

"Pasukan Taskforce itu telah berjaya menumpaskan 13 kes ATIPSOM yang melibatkan tangkapan seramai 135 migran," katanya.