KUALA TERENGGANU - Polis sedang memburu individu yang terlibat dalam kes penipuan pakej umrah membabitkan kerugian berjumlah RM15,000 yang dilaporkan oleh seorang wanita warga emas di Besut.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 63 tahun berhubung pakej umrah yang ditawarkan menerusi sebuah syarikat pelancongan.
Menurutnya, mangsa mendakwa telah membuat bayaran berjumlah RM15,000 untuk tiga orang melalui tiga transaksi ke dua akaun bank.
"Perjalanan umrah tersebut pernah ditangguhkan sebanyak dua kali atas alasan masalah visa.
"Pengadu kemudiannya terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dimaklumkan bahawa visa tidak diluluskan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Mohd Khairi berkata, semakan awal mendapati terdapat lima lagi laporan polis dibuat oleh individu lain berkaitan perkara sama.
Katanya, polis kini sedang merakam percakapan pengadu dan saksi selain mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan, termasuk syarikat pelancongan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), manakala usaha mengesan individu terlibat sedang giat dijalankan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat, serta boleh dikenakan denda," jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta tampil membantu siasatan.
"Bakal jemaah juga dinasihatkan agar menyemak status syarikat pengendali umrah dan mendapatkan pengesahan bertulis tentang pakej, penerbangan serta visa sebelum membuat sebarang pembayaran," ujarnya.