Pengusaha ladang kelapa sawit rugi lebih RM300,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

Iklan
Seorang pengusaha ladang kelapa sawit kerugian lebih RM300,000 selepas menjadi mangsa tawaran skim pelaburan disyaki tidak wujud. Foto kecil: Mohd Nasyim

TEMERLOH - Seorang pengusaha ladang kelapa sawit kerugian lebih RM300,000 selepas menjadi mangsa tawaran skim pelaburan disyaki tidak wujud.

Lelaki berusia 51 tahun dari Kuala Krau di sini mendakwa menerima pesanan Whatsapp dari nombor tidak dikenali 11 Ogos lalu menawarkan pelaburan 'Prestige Prime' yang menjanjikan pulangan lumayan bagi menambahkan pendapatannya.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, tertarik dengan pelaburan tersebut, mangsa menekan pautan yang diberikan untuk membuat pendaftaran.

Menurutnya, mangsa seterusnya diarahkan untuk membuat bayaran pelaburan ke akaun yang diberikan.

Iklan

"Selepas transaksi tersebut dilakukan, mangsa dapati akaun pelaburannya disekat dan mengesyaki telah ditipu," katanya.

Mohd Nasyim berkata, mangsa juga tidak mendapat sebarang keuntungan daripada wang yang dilaburkan itu.

Iklan

"Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu yang menghubungi melalui telefon atau aplikasi media sosial dengan tawaran pelaburan secara dalam talian menjanjikan keuntungan lumayan.

"Jangan memuat turun aplikasi atau membuat sebarang transaksi kewangan atas arahan individu yang tidak dikenali.

"Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau membuat laporan polis," katanya.