Bila Najib boleh mula jalani tahanan rumah? Ini penjelasan peguam Shafee Abdullah

Iklan
Najib menerima pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat yang ditetapkan. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Lapan hari selepas keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan diumumkan pada 18 September lalu, tumpuan kini terarah kepada bila Datuk Seri Najib Razak boleh mula menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd, secara tahanan rumah.

Najib menerima pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

Berikut antara penjelasan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini:

1. Najib tidak mampu bayar denda RM50 juta

Iklan

Datuk Seri Najib Razak ketika ini tidak mampu menyediakan RM50 juta, yang dikenakan sebagai salah satu syarat bagi membolehkannya menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah.

2. Akaun dibekukan

Iklan

Menurut Shafee, keadaan kewangan anak guamnya tidak membolehkan jumlah itu disediakan susulan pembekuan beberapa akaun milik Najib.

Muhammad Shafee

3. Tidak pernah minta sumbangan awam

Najib juga tidak pernah meminta sumbangan daripada orang awam untuk membayar denda RM50 juta berkenaan.

4. Rumah di Langgak Duta lokasi tahanan rumah

Shafee mengesahkan rumah No. 11, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur sebagai lokasi tahanan rumah Najib sekiranya denda RM50 juta itu dibayar.

5. Mungkin keluar penjara seawal bulan depan

Najib mungkin meninggalkan Penjara Kajang seawal bulan depan dan menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

6. Bergantung keputusan Mahkamah Tinggi

Jika penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun bagi kes 1MDB diberikan pada 14 Oktober dan denda RM50 juta dibayar, terdapat kemungkinan besar Najib boleh dibebaskan pada hari sama untuk menjalani tahanan rumah.

Lapan hari selepas keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan diumumkan pada 18 September lalu, tumpuan kini terarah kepada bila Datuk Seri Najib Razak boleh mula menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd, secara tahanan rumah. Foto Bernama

7. Cadangan kawat duri tidak masuk akal

Shafee menyifatkan cadangan supaya rumah Najib dipasang kawat duri, lampu sorot dan pengawal bersenjata sebagai tidak masuk akal serta tidak selari dengan konsep tahanan rumah.

8. Tahanan rumah bukan seperti berada dalam penjara

Menurut Shafee, tahanan rumah membolehkan banduan menjalani kehidupan di rumah dengan syarat tertentu, bukannya dikawal seperti berada dalam penjara.

9. Pernah dilaksanakan terhadap banduan lain

Shafee berkata pengaturan seumpama tahanan rumah pernah diberikan kepada banduan lain melalui lesen tertentu.

"Lesen ini ialah tahanan rumah, tetapi tahanan rumah itu dilaksanakan atau diuruskan melalui pengaturan lesen. Saya beri anda lesen untuk keluar dari penjara, ini syarat-syaratnya. Jika anda langgar syarat, anda kembali ke penjara," kata Shafee.

10. Belum terima surat rasmi pengampunan

Sehingga hari ini, Najib masih belum terima surat rasmi berkaitan keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah. - AWANI