Pemilik stesen minyak didenda RM25,000, jual RON95 kepada kenderaan Singapura

Iklan
Mahkamah Sesyen Seri Manjung mengenakan denda RM25,000 terhadap pemilik sebuah stesen minyak di Ayer Tawar selepas mengaku bersalah menjual petrol RON95 kepada kenderaan asing tanpa kebenaran, Mei lalu.

MANJUNG - Pemilik sebuah stesen minyak didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Seri Manjung pada Jumaat selepas mengaku bersalah menjual petrol RON95 kepada kenderaan asing tanpa kebenaran, Mei lalu.

Hakim Azizah Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Ling Mei Yen, 51, selaku pemilik perniagaan Siew Service Station di Ayer Tawar.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara dua bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menjual petrol RON95 sebanyak 27.452 liter kepada seorang lelaki, Wong Ing Wan, bagi kegunaan sebuah kenderaan pendaftaran Singapura tanpa kebenaran bertulis Pengawal.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan di stesen minyak miliknya di Main Road, Ayer Tawar, dalam daerah Manjung kira-kira jam 8.25 malam pada 13 Mei 2026.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol RON95) 2026 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Iklan

Mahkamah turut mengenakan denda sama, RM25,000, terhadap Ing Wan, 46, yang mengaku bersalah membeli petrol RON95 dalam kuantiti sama daripada premis berkenaan bagi kegunaan kenderaan asing tanpa kebenaran bertulis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Muhammad Hanif Abd Azis.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan itu melibatkan bahan kawalan bersubsidi di bawah program Budi Madani RON95 yang menggunakan wang cukai rakyat.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun merayu hukuman diringankan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.

Kedua-dua tertuduh menjelaskan denda RM25,000 masing-masing pada hari sama.