Pengguna resah panggilan senyap

Iklan
Fenomena ‘panggilan senyap’ yang dilaporkan semakin kerap sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan orang ramai kerana didakwa menjadi modus operandi baharu scammer. Gambar kecil Amir Hamzah (atas), Abdul Razak (kiri) dan Mohd Fadzil

SHAH ALAM – Telefon berdering seperti biasa. Namun sebaik sahaja panggilan dijawab, talian menjadi senyap. Tiada salam, tiada suara, tiada bunyi latar. Hanya diam yang menimbulkan tanda tanya. Adakah itu panggilan tersalah tekan atau umpan paling awal sebelum seseorang dijadikan mangsa penipuan?

Fenomena ‘panggilan senyap’ yang dilaporkan semakin kerap sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan orang ramai kerana didakwa menjadi modus operandi (MO) baharu scammer untuk menguji nombor telefon pengguna, mengumpul maklumat atau membuka jalan kepada penipuan lebih besar selepas itu.

Iklan
Iklan

Bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Amirudin Abdul Wahab mendedahkan bahawa menjawab panggilan senyap boleh menyebabkan nombor pengguna dikenal pasti sebagai nombor “aktif” sebelum dijadikan sasaran pelbagai jenis scam pada masa akan datang, termasuk komunikasi susulan melalui SMS dan aplikasi pesanan yang mengandungi pautan palsu atau penyamaran pihak berkuasa.

Seorang pengguna, Amir Hamzah Yakat Ali berkata, beliau pernah menerima panggilan sedemikian daripada nombor tidak dikenali dan berharap tindakan tegas perlu diambil kerana penipuan kini semakin berani serta sukar dijejak.

Iklan

“Bab scammer ini, kerajaan kena lihat bagaimana akaun bank boleh dibuka dengan begitu mudah di dalam negara. Fungsi Bank Negara perlu lebih ketat dalam menangani isu ini.

“MCMC pula kena bertindak segera, bukan hanya membalas e-mel atau meminta laporan berulang kali. Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain juga harus cekap mengesan panggilan scammer,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, semua syarikat telekomunikasi perlu bekerjasama kerana mereka mempunyai data pendaftaran nombor telefon yang sepatutnya boleh membantu siasatan termasuk mengesan corak panggilan mencurigakan serta menyekat talian yang disalah guna.

“Portal nombor scammer perlu sentiasa dikemas kini dan diuar-uarkan,” katanya.

Bagaimanapun, Amir Hamzah memaklumkan selepas menerima panggilan senyap itu, beliau tidak menerima sebarang panggilan susulan daripada individu tidak dikenali atau scammer dalam tempoh beberapa hari.

Dalam perkembangan sama, aktivis politik, Abdul Razak Ismail menegaskan tanggungjawab melindungi pengguna tidak wajar diletakkan sepenuhnya kepada pelanggan kerana banyak kelemahan berpunca daripada sistem yang boleh diperketatkan.

“Kita perlu pertimbangkan peranan kerajaan dalam membekalkan kemudahan telefon dan internet.

“Apabila pelanggan menjadi mangsa scam, kehilangan itu biasanya jatuh kepada mereka. Bank, MCMC atau telco tidak mengambil tanggungjawab sepenuhnya.

“Oleh itu, satu kaedah perlu digubal supaya kerugian dikongsi antara pihak berkenaan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan prosedur lebih ketat bagi memastikan pengguna boleh melaporkan kes penipuan dengan segera dan tindakan membekukan transaksi dapat dibuat sebelum kerugian berlaku.

Infografik penipuan telekomunikasi di Malaysia.

Sementara itu, presiden sebuah badan bukan kerajaan, Mohd Fadzil Fairus Guriaman turut mengesahkan pernah menerima panggilan senyap dan mendakwa berdepan panggilan scam susulan selepas insiden tersebut.

“Dia senyap, saya pun senyap. Saya tunggu kalau dia nak bagi salam atau bercakap. Bila kedua-dua diam, saya terus letak. Selepas itu, memang ada terima panggilan daripada scammer,” ujarnya.

Mengulas dakwaan bahawa panggilan senyap digunakan bagi mengesahkan talian aktif sebelum penipuan dilakukan, Mohd Fadzil mengakui perkara itu berkemungkinan benar.

“Maknanya, bila talian itu aktif, barulah scammer telefon semula beberapa hari kemudian,” katanya.

Beliau berkata, syarikat telekomunikasi sepatutnya lebih proaktif kerana memiliki pangkalan data pendaftaran nombor telefon.

“Kalau ada laporan nombor scammer, telco patut sekat nombor itu. PDRM pula perlu bekerjasama rapat dengan telco. Tindakan pantas perlu dilakukan,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengikuti maklumat dan amaran terkini pihak berkuasa serta tidak mudah terpedaya dengan sebarang ancaman melalui telefon.

“Dengan teknologi AI sekarang, suara ahli keluarga pun boleh diklon. Kita tak boleh percaya hanya melalui telefon. Perlu sahkan dengan pihak bertanggungjawab,” katanya.