Sindiket 'Iqbal' seludup migran guna laluan tikus tumpas, raih untung RM1.5 juta

Iklan
Serbuan turut menahan seramai 12 warga Bangladesh terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 54 tahun.

KOTA BHARU – Sindiket penyeludupan migran didalangi seorang lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Iqbal dipercayai terlibat membawa masuk pendatang asing melalui laluan tikus di sekitar sempadan Malaysia–Thailand ditumpaskan menerusi satu operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Sabtu.

Operasi hasil risikan dan maklumat awam itu turut membongkarkan sindiket yang dipercayai beroperasi dari Thailand itu.

Iklan
Iklan

Lebih mengejutkan, sindiket terbabit dipercayai mengaut keuntungan keseluruhan dianggarkan mencecah RM1.5 juta hasil daripada aktiviti penyeludupan migran secara haram itu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan dijalankan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Kelantan.

Iklan

"Serbuan melibatkan sebuah premis terpencil di kawasan kampung yang dipercayai dijadikan rumah penampungan bagi migran yang dibawa masuk ke negara ini melalui laluan tidak sah.

Serbuan turut menahan seramai 12 warga Bangladesh terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 54 tahun.

Iklan

"Premis berkenaan digunakan sebagai markas transit sementara untuk menempatkan migran sebelum dihantar ke lokasi destinasi seterusnya di dalam negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, lokasi premis yang sukar dikesan itu dipercayai dipilih bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain memudahkan pergerakan sindiket berkenaan.

"Serbuan turut menahan seramai 12 warga Bangladesh terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 54 tahun.

"Turut ditahan seorang lelaki warga Myanmar etnik Rohingya berusia 27 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penjaga rumah penampungan tersebut," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua migran terbabit memasuki negara ini melalui laluan darat yang tidak diwartakan di sekitar sempadan Malaysia–Thailand.

"Mereka ditempatkan di premis berkenaan sementara menunggu baki bayaran kemasukan dilunaskan sebelum dihantar ke lokasi destinasi seterusnya.

"JIM kini giat mengesan pemilik premis warga tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket terbabit dengan menyewakan serta membenarkan hartanahnya digunakan sebagai pusat transit aktiviti penyeludupan migran," katanya.

Tambahnya, individu berkenaan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].

"Risikan lanjut mendapati sindiket ‘Iqbal’ itu telah aktif beroperasi sejak awal tahun 2024 dan mempunyai rangkaian ejen pengatur di negara asal, dengan dalang utama seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai beroperasi dari Thailand.

"Sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap individu yang diseludup masuk ke negara ini," katanya.

Zakaria berkata, operasi itu turut menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi meneliti kesalahan di bawah Akta ATIPSOM 2007.

"Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),” katanya.

Jelasnya, orang ramai turut dinasihatkan supaya melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan jenayah penyeludupan migran dan pemerdagangan orang melalui saluran aduan rasmi JIM bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara.