PUTRAJAYA – Seramai 5,329 kru diberkas melibatkan 628 bot nelayan asing yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam Ops Naga sejak Mei 2019 hingga Disember 2025 lalu.
Statistik turut merekodkan jumlah keseluruhan tangkapan membabitkan rampasan berjumlah RM203.44 juta.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, Ops Naga digerakkan secara berterusan sejak Mei 2019 lalu.
"Operasi ini dijalankan bagi mengekang pencerobohan bot nelayan asing yang menjalankan aktiviti perikanan haram di perairan negara khususnya dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.
"Ia merupakan langkah tegas dalam memastikan keselamatan perairan negara, melindungi sumber perikanan tempatan serta mempertahankan kedaulatan maritim Malaysia," katanya pada Ahad.
Ujarnya, daripada keseluruhan 628 bot nelayan asing yang ditahan, majoritinya berasal dari Vietnam iaitu 469 bot, diikuti Indonesia (112 bot), Thailand (59 bot) dan China (10 bot).
"Tangkapan tertinggi direkodkan pada 2019 dengan 197 buah, diikuti 2020 (135), 2021 (100), 2022 (56), 2023 (56), 2024 (65) dan sehingga Disember 2025 sebanyak 19 buah.
"Nilai rampasan mengikut tahun pula merekodkan RM24.4 juta pada 2019, RM5.16 juta (2020), RM35.4 juta (2021), RM13.2 juta (2022), RM5.98 juta (2023), RM106.7 juta (2024) dan RM12.6 juta pada 2025," katanya.
Menurutnya, jumlah rampasan yang mencecah ratusan juta ringgit itu membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam membanteras pencerobohan perairan serta memastikan aktiviti perikanan dijalankan secara sah dan terkawal.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara,” katanya.