KUANTAN-Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan berasingan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini pada Khamis dan Jumaat lalu.
Susulan penahanan suspek berusia 28 hingga 49 tahun itu, polis menemui dan merampas dadah jenis heroin, syabu dan pil yaba dianggarkan bernilai hampir RM8,000.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, suspek wanita berusia 28 tahun ditahan ketika berada di sebuah stesen minyak di Batu 3 di sini kira-kira jam 4 pagi Jumaat lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan ke atas wanita itu membawa kepada penemuan dadah jenis heroin, syabu dan pil yaba dianggarkan bernilai RM6,020.
"Semakan rekod mendapati wanita itu memiliki 23 rekod lampau berkait kes dadah.
"Saringan awal air kencing, suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, suspek ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sementara itu, dalam kes berasingan, dua lelaki berusia 42 dan 49 tahun ditahan bersama sejumlah dadah hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Flat Pak Mahat, di sini pada Khamis lalu.
Ashari berkata, serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuantan kira-kira jam 8.40 malam itu turut menemui dadah jenis heroin dianggarkan bernilai hampir RM2,000.
"Siasatan awal mendapati, suspek membeli dadah jenis heroin itu melalui kenalan yang dipercayai tinggal di Felda Neram, Terengganu sebelum diedarkan kepada golongan penagih di sini.
"Kedua-dua suspek yang positif morphine kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut juga di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) ADB 1952," ujarnya.