KOTA BHARU – Polis Kelantan telah mengambil keterangan pemandu sebuah kenderaan milik agensi penyelamat yang dipercayai melanggar seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun sehingga parah di Bachok pada 3 Januari lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan akan dijalankan secara telus tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
“Setakat ini, sebanyak tiga aduan berkaitan kemalangan itu telah diterima. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa, Nurul Afia Raisha Muhamad Shamsul, mengalami kecederaan parah pada bahagian abdomen selain patah bahu kanan, tulang selangka dan tulang rusuk selepas dipercayai dilanggar.
Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Nurul Afzan Che Ramlee, 33, berkata, anaknya telah menjalani tiga pembedahan kecil pada bahagian dada dan menunjukkan perkembangan positif walaupun masih berada dalam keadaan kritikal.
Ujarnya, anak bongsu daripada tiga beradik itu masih memerlukan bantuan pernafasan.
“Dia kini sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM). Semasa kejadian, anak saya sedang bermain di kawasan padang tempat berlangsungnya acara sukan rakyat, sebelum dilanggar kenderaan milik agensi yang sedang mengundur.
“Ketika itu, beberapa kanak-kanak lain turut bermain di kawasan sama kerana lokasi berkenaan bukan di atas jalan, sebaliknya tapak sukaneka yang dianggap selamat,” ujarnya.
Menurutnya, anaknya kemudian dibawa menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke Hospital Bachok untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke HPUSM berikutan keadaannya yang kritikal.