KAMPAR - Sebanyak 168 bahagian hidupan liar disyaki ekor buaya dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sebuah premis perniagaan barangan sejuk beku di sini pada Jumaat.
Operasi kira-kira jam 4 petang itu dilaksanakan oleh Kompeni B, Batalion 3, Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, hasil operasi membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan mengeksploitasi bahagian hidupan liar tanpa lesen.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua bahagian hidupan liar tersebut diperoleh daripada sebuah syarikat pembekal yang beroperasi di Puchong, Selangor sebelum dipasarkan kepada restoran di sekitar daerah Kampar mengikut permintaan.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM20,000.
"Semakan kita juga mendapati, premis perniagaan ini telah menjalankan kegiatan berkenaan sejak tahun 2024," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, suspek telah diserahkan kepada Perhilitan Perak untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Katanya, Ibu Pejabat Briged Utara PGA akan terus bekerjasama rapat dengan Perhilitan dalam melaksanakan Operasi Bersepadu Khazanah melalui pengawasan dan rondaan berterusan.
"Fokus operasi melibatkan kawasan di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bagi mengekang serta membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang berkaitan hidupan liar," katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang diminta supaya menyalurkan maklumat kepada Briged Utara PGA bagi membantu tindakan penguatkuasaan.