SHAH ALAM – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mengambil maklum situasi kehadiran pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 1/2026 di Kem Latihan Khidmat Negara (CLKN) 505 AW di Pekan, Pahang, yang melebihi kapasiti maksimum pusat latihan berkenaan.
Ketua Pengarah JLKN, Datuk Ya’cob Samiran berkata, pihaknya memohon maaf dan merakamkan penghargaan atas sokongan menggalakkan daripada ibu bapa serta penjaga terhadap program itu.
Menurutnya, jumlah kehadiran pelatih pada hari pendaftaran tersebut adalah di luar jangkaan dan melebihi kapasiti yang ditetapkan, sekali gus memaksa JLKN mengambil keputusan menangguhkan pendaftaran sebahagian pelatih.
“Demi memastikan kualiti latihan, keselesaan penginapan serta aspek keselamatan pelatih terus terjaga, JLKN terpaksa mengambil keputusan berat untuk menangguhkan pendaftaran sebahagian pelatih dan memohon mereka pulang ke kediaman masing-masing buat sementara waktu berikutan kekangan kapasiti kem,” ujarnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau menegaskan, keputusan itu bukan satu penolakan, sebaliknya langkah penyelarasan operasi bagi memastikan setiap pelatih memperoleh pengalaman latihan yang terbaik dan kondusif.
Mengulas lanjut, Ya’cob berkata, berdasarkan trend siri-siri PLKN sebelum ini, peratusan ketidakhadiran pelatih atau no-show sering berlaku, justeru langkah pengurusan ruang atau overbooking dilaksanakan bagi memastikan setiap slot latihan dapat diisi sepenuhnya demi manfaat anak bangsa.
Bagaimanapun, ujarnya, kehadiran pelatih bagi siri kali ini amat luar biasa dan berada di luar jangkaan, sekali gus membuktikan PLKN 3.0 kini mendapat tempat istimewa dalam kalangan masyarakat.
Sebagai komitmen terhadap kebajikan pelatih yang terkesan, JLKN memberi jaminan mereka akan diberikan keutamaan penuh untuk kemasukan Intake Ke-2 akan datang tanpa perlu melalui proses pemilihan semula.
Dalam pada itu, pelatih yang dibenarkan pulang pada hari pendaftaran boleh membuat tuntutan perjalanan mengikut garis panduan dan peraturan sedia ada yang ditetapkan.
JLKN turut memohon maaf atas sebarang kesulitan dan kekalutan yang berlaku sepanjang proses pendaftaran, selain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat luar biasa para belia serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa sempena pendaftaran PLKN Siri 1/2026 yang berlangsung pada Sabtu.