GERIK - Sebanyak 14 kereta musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel kereta di Kampung Pahat Luar di sini pada Sabtu.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.33 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 9 kilometer dari balai.
“Setibanya di tempat kejadian, kebakaran didapati melibatkan 14 kereta yang berada di bawah jagaan sebuah bengkel dan diletakkan di kawasan lapang.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 12 kereta pelbagai jenis musnah terbakar kira-kira 90 peratus manakala dua lagi kereta yang tidak dapat dikenal pasti jenisnya musnah sekitar 85 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Shazlean berkata, ketika jentera tiba, api sedang marak namun tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan.
Katanya, seramai 11 anggota terlibat menjalankan kerja pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan tiga pancutan air yang bersumberkan bekalan dari tangki jentera.
"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.30 malam dan operasi ditamatkan pada jam 9.15 malam," katanya.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.