PANGKEP – Pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport dilaporkan terputus hubungan ditemukan terhempas di kaki Gunung Bulusaraung, Kabupaten Pangkep, Sulawesi Selatan pada petang Sabtu.
Penemuan itu disahkan selepas rakaman video seorang pendaki menunjukkan serpihan pesawat yang terbakar di kawasan puncak gunung tersebut.
Pesawat dilaporkan ditemukan sekitar sejam sebelum berita tersebut disiarkan.
Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Pangkep telah mengerahkan enam anggota ke lokasi bagi membantu operasi awal.
“Pasukan sudah berangkat sejak satu jam lalu,” kata Herianti Tualle dari BPBD Pangkep.
Pesawat ATR 42-500 dengan nombor pendaftaran PK-THT dilaporkan terputus hubungan ketika dalam penerbangan dari Yogyakarta menuju Bandar Udara Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Makassar di Maros, Sulawesi Selatan.
Kejadian berlaku sekitar jam 1.17 tengah hari waktu tempatan (WITA).
Dalam operasi pencarian, Basarnas Makassar mengesahkan telah mengerahkan pasukan ke lokasi yang dipercayai menjadi titik koordinat terakhir pesawat di sekitar kawasan Leang-Leang, Maros.
“Kami sudah menghantar lima anggota pertama untuk penilaian awal, diikuti 15 anggota tambahan.
"Jumlah keseluruhan sehingga 40 anggota akan digerakkan mengikut potensi yang ada,” kata Ketua Seksi Operasi Basarnas Makassar, Andi Sultan.
Basarnas juga menerbangkan satu unit dron bagi membantu pencarian di kawasan sukar dilalui.
Menurut maklumat yang diterima Basarnas daripada Kantor Pelayanan Navigasi AirNav Indonesia Cabang MATSC Makassar, pesawat berkenaan terputus hubungan pada koordinat 04°57’08” S 119°42’54” E. - Agensi