JAKARTA - Selepas dilanda banjir teruk dan tanah runtuh November lepas, wilayah Aceh di Indonesia kini berdepan satu lagi bencana apabila kebakaran hutan berlaku di beberapa kawasan.
Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) memaklumkan kawasan seluas kira-kira 1.5 hektar di Gampong Lapang, Mukim Johan Pahlawan dalam Daerah Aceh Barat terjejas sejak Jumaat dan kebakaran masih berlarutan hingga hari ini.
"Angin kencang dan sumber air yang terletak jauh dari kawasan terjejas menjadi cabaran utama. Setakat ini, pasukan gabungan masih bekerja bertungkus-lumus untuk memadamkan kebakaran," kata Ketua Data dan Komunikasi BNPB Abdul Muhari dalam kenyataan pada Sabtu.
Api turut menjilat Wilayah Riau khususnya di Daerah Siak dan Bandar Dumai sejak awal tahun ini yang telah memusnahkan keseluruhan kawasan seluas 3.25 hektar.
Sementara itu, kebakaran hutan di Wilayah Kalimantan Tengah yang memusnahkan enam hektar kawasan di Desa Ujung Pandaran, Mukim Teluk Sampit di Daerah Kotawaringin Timur pada Jumaat, berjaya dikawal. - Bernama