CYBERJAYA - Kementerian Komunikasi akan terus berusaha memperkasakan komunikasi kerajaan bagi memastikan segala maklumat berkaitan dasar, program dan bantuan kerajaan dapat disampaikan secara jelas, tepat dan mudah difahami oleh rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata bagi tujuan itu, penyelarasan jentera komunikasi kerajaan turut diperkukuh melibatkan pegawai penerangan, pegawai perhubungan awam (PRO) dan Unit Komunikasi Korporat (UKK) di semua kementerian dan agensi.
"Kadangkala, sekiranya kita mempunyai sesuatu produk atau perkhidmatan tetapi kumpulan sasaran tidak mengetahui kewujudannya, maka di situlah berlakunya masalah komunikasi,” katanya selepas menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Penerangan (JAPEN) di sini pada Jumaat.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata, kejelasan penyebaran maklumat amat penting khususnya bagi program bersasar, termasuk inisiatif Kementerian Kewangan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), MySalam dan bantuan awal persekolahan.
Bagi tujuan itu juga beliau berkata, penggunaan bahasa yang mudah, bersahaja dan sesuai dengan konteks setempat, penting bagi mengelakkan jurang kefahaman antara kerajaan dan rakyat.
"Arahan saya kepada mereka (warga JAPEN) ialah bahasa yang digunakan mesti berpijak di bumi yang nyata. Di Perlis, mungkin penyampaian perlu menggunakan ayat dan pendekatan yang berbeza.
"Begitu juga dengan komuniti Cina, komuniti India dan kelompok suku kaum tertentu, bahasa yang digunakan mestilah tepat dan sesuai, bukan sekadar bahasa rasmi atau bahasa Putrajaya,” katanya.
Semalam Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam amanatnya menegaskan aspek komunikasi kerajaan perlu dipertingkatkan, agar semua inisiatif dilaksanakan difahami sepenuhnya rakyat.
Menurut Shamsul Azri, penting untuk kementerian dan jabatan memastikan maklumat sampai dengan jelas dan mengurangkan penggunaan istilah formal atau ‘bahasa Putrajaya’ (bahasa kerajaan) yang sukar difahami.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut menzahirkan harapan agar Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dapat diaktifkan sebagai pusat latihan strategik bagi melahirkan key communicator kerajaan, yang berupaya menyampaikan maklumat secara lebih berkesan dan responsif terhadap keperluan semasa.
"Ia khususnya dalam kalangan pegawai JAPEN, PRO dan UKK agar isu-isu sebelum ini dibangkitkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (berhubung isu komunikasi kerajaan), dapat diuruskan dengan pantas dan menyeluruh. Ini adalah usaha saya,” katanya.
Terdahulu dalam amanatnya, Fahmi memaklumkan satu kajian mendapati golongan muda berusia antara 18 hingga 35 tahun, dikenal pasti sebagai kumpulan paling besar menerima maklumat melalui media sosial seperti Facebook, TikTok dan WhatsApp.
"Kumpulan ini bukan sahaja merangkumi hampir separuh daripada pengundi, malah merupakan pengguna utama produk dan perkhidmatan yang dihasilkan dalam negara.
"Sehubungan itu, kerajaan dan jentera penerangan diingatkan agar lebih bersedia dan tidak bergantung kepada pendekatan lama atau sekadar perkongsian semula kandungan,” katanya.
Selain itu, penggunaan ciri audio WhatsApp turut disaran sebagai kaedah berkesan, khususnya bagi memudahkan penyampaian mesej kepada masyarakat yang kurang gemar membaca, dengan pendekatan lebih dekat dan mesra rakyat. - Bernama