Penambahbaikan SARA pastikan bantuan lebih tersusun, bersasar - Anwar

Iklan
Anwar. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) digubal dengan penuh iltizam bagi memastikan rakyat dapat memenuhi keperluan asas secara lebih tersusun, bersasar dan berterusan.

Menerusi hantaran Facebook pada Jumaat Anwar berkata, langkah itu sejajar dengan tekad Kerajaan Madani untuk meringankan beban kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat, dengan sebanyak 3.1 juta individu bujang turut menerima manfaat SARA melalui pengkreditan terus ke dalam MyKad bermula hari ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sekadar bantuan tunai, sebaliknya turut memberi nafas baharu kepada ekonomi tempatan menerusi peluasan penyertaan kedai kecil dalam rangkaian SARA.

"Penyertaan kedai-kedai kecil dalam rangkaian SARA diperluas kepada 10,000 premis di seluruh negara agar kekayaan negara tidak berlegar di pusat semata-mata, tetapi mengalir kembali kepada peniaga kecil di bandar, pekan dan desa,” kata beliau.

Iklan

Anwar berkata, Kerajaan Madani akan terus memastikan tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir dalam usaha memenuhi keperluan asas kehidupan mereka.

"Inilah semangat Madani yakni kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, melangkah bersama-sama membina masa depan negara berteraskan keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi Madani,” kata beliau.

Iklan

Bantuan SARA untuk golongan bujang yang layak sehingga RM100 sebulan yang dikreditkan menerusi MyKad bermula hari ini, boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya dan kedai berdaftar.

Selain itu, penyaluran SARA Bulanan 2026 bermula pada 9 Januari melibatkan lima juta penerima terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.

Secara keseluruhan, SARA Bulanan 2026 melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8 bilion, meningkat berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion pada 2025. - Bernama