SARA dan STR 2026 libat sembilan juta penerima, peruntukan tertinggi RM15 bilion - PMO

Iklan
Tunku Nashrul memaklumkan, peruntukan RM15 bilion bagi meneruskan pelaksanaan SARA dan STR itu merupakan yang tertinggi setakat ini.

KUALA LUMPUR - Kerajaan Madani memperuntukkan sebanyak RM15 bilion bagi meneruskan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada tahun 2026, yang akan memanfaatkan kira-kira sembilan juta penerima di seluruh negara.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, peruntukan RM15 bilion itu merupakan yang tertinggi bagi melaksanakan inisiatif itu setakat ini, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, penyaluran SARA Bulanan 2026 telah bermula pada 9 Jan, melibatkan lima juta penerima terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan, manakala penyaluran kepada 3.1 juta penerima kategori bujang bermula hari ini.

"Secara keseluruhan, SARA Bulanan 2026 melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8 bilion, meningkat berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion pada tahun 2025,” katanya menerusi Taklimat Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia pada Jumaat.

Iklan

Tunku Nashrul berkata, pelaksanaan SARA pada tahun 2025 pula menunjukkan kadar perbelanjaan yang hampir 100 peratus, termasuk di kawasan luar bandar, sekali gus membuktikan keberkesanan mekanisme bantuan ini.

Selain itu beliau berkata, sasaran penyertaan kedai runcit kecil dalam program SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 buah menjelang akhir 2026, berbanding lebih 3,000 buah pada akhir tahun lepas bagi memudahkan penerima serta merangsang ekonomi setempat dan perniagaan kecil.

Iklan

Mengenai STR pula, Tunku Nashrul berkata, STR Fasa 1 Tahun 2026 akan mula disalurkan pada Selasa depan (20 Jan) melibatkan peruntukan RM1.1 bilion, dengan manfaat kepada lima juta penerima terdiri daripada isi rumah dan warga emas.

Sementara itu, beliau memaklumkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada setiap murid sekolah telah disalurkan secara berperingkat bermula 11 Jan, membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM800 juta dan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid di seluruh negara.

Tunku Nashrul berkata bantuan itu, termasuk kepada pelajar Tingkatan Enam, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkasakan sistem pendidikan negara serta meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga pada awal tahun persekolahan.

Dalam perkembangan berkaitan ekonomi, beliau berkata, kadar pengangguran negara kini berada pada paras terendah dalam tempoh 11 tahun, iaitu 2.9 peratus, mencerminkan kedudukan pasaran pekerjaan yang semakin kukuh.

"Perkembangan ini memberi isyarat positif terhadap kedudukan pasaran pekerjaan serta keupayaan ekonomi untuk terus menyokong peluang pendapatan rakyat,” katanya.

Tunku Nashrul berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut mengumumkan anggaran awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Keempat 2025 berkembang sebanyak 5.7 peratus, sekali gus membawa pertumbuhan keseluruhan 2025 kepada sekitar 4.9 peratus, mengatasi unjuran rasmi kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus.

Beliau berkata, meskipun berdepan cabaran global, pembaharuan ekonomi, penyesuaian dasar serta pengukuhan hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan rakan antarabangsa membantu mengekalkan kestabilan ekonomi domestik serta keyakinan pelabur.

"Insya-ALLAH, kerangka Ekonomi Madani akan terus menjadi asas kepada pengurusan ekonomi negara, dengan penekanan kepada pertumbuhan yang seimbang, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan Salam Israk Mikraj kepada seluruh umat Islam dan menegaskan jentera Kerajaan Madani akan terus bekerja memastikan setiap dasar serta bantuan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. - Bernama