Solat asas pembinaan keadilan, keharmonian sejagat - Anwar

Iklan
Anwar menyantuni jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara peristiwa agung dalam perjalanan Israk dan Mikraj Rasulullah SAW ialah penerimaan langsung perintah solat lima waktu sebagai ibadah teras dalam kehidupan seorang Muslim.

Beliau berkata, solat bukan sekadar ibadah rutin, sebaliknya mempunyai dimensi yang luas dengan kesan mendalam bukan sahaja kepada pembentukan diri individu, malah turut melibatkan keluarga, masyarakat dan negara.

Iklan
Iklan

Menjelaskan perkara itu, Anwar berkata, tokoh ulama Islam Nusantara Syeikh Daud Al-Fatani dalam karya klasik Munyatul Musolli, tidak hanya membahaskan tatacara solat, malah turut menyentuh aspek siyasah dan tatakelola yang baik.

"Dalam bab"Tatmim al-Fa’idah”, Syeikh Daud menyentuh mengenai ibadah solat namun jauh daripada itu mengaitkan dengan prinsip keadilan.

Iklan

"Keadilan adalah tentang keseimbangan dan wujud secara beriringan dengan fenomena convivencia global, iaitu keadaan yang masyarakat sejagat hidup bersama dalam budaya damai,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Perdana Menteri berkata, usaha mencapai keadilan merupakan tanggungjawab bersama, sama ada oleh Muslim atau bukan Muslim, demi merealisasikan matlamat kemanusiaan sejagat.

Iklan

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak terus memelihara kehidupan secara rukun dan damai, selain menolak prasangka, stereotaip palsu dan naratif permusuhan yang boleh menghancurkan keharmonian masyarakat.

"Pada masa yang sama mesti tetap tawaduk dan rendah hati, kerana kita mungkin tidak mempunyai jawapan yang tepat. Bahkan jika kita mendapat jawapan sekalipun, kita tidak boleh terlalu gopoh dan tergesa-gesa menganggapnya sebagai penyelesaian yang tuntas,” katanya. - Bernama