KUANTAN – Hanya dalam tempoh dua jam, sebanyak 2.5 tan durian habis terjual pada program jualan di Pasar Tani Beserah di sini, hasil tarikan harga murah dan bekalan terus dari ladang.
Keadaan itu menyaksikan orang ramai mula menyerbu tapak jualan seawal jam 6 petang pada Khamis, sekali gus membuktikan buah-buahan tempatan kekal menjadi pilihan utama masyarakat di negeri ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, Rashiha Mamat berkata, varieti durian kampung dan durian klon menjadi tumpuan kerana tawaran harga yang jauh lebih rendah berbanding pasaran biasa.
Menurutnya, durian kampung dijual pada harga RM4.50 sekilogram (kg) berbanding harga pasaran RM8 hingga RM10 manakala durian klon seperti D24 ditawarkan antara RM8 hingga RM12 berbanding harga pasaran mencecah RM15.
"Bekalan ini diperoleh terus daripada pekebun di beberapa daerah di negeri ini seperti Sungai Ruan dan Sungai Klau di Raub, Kampung Damak dan Kampung Perlok di Jerantut serta Bentong.
"Bagi menjaga kualiti dan standard, FAMA menjalankan kaedah penggredan semasa pembelian bagi menentukan gred durian tersebut sebelum dipasarkan kepada pengguna," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, selain raja buah, beberapa jenis buah-buahan bermusim yang lain turut mencatatkan jualan yang sangat memberangsangkan.
"Sebanyak satu tan manggis turut mendapat sambutan hangat manakala rambutan pula, sebanyak 200 kilogram (kg) berjaya dijual," ujarnya.
Mengulas mengenai jangkaan kehadiran pengunjung yang ramai di lokasi seterusnya, beliau memaklumkan pihaknya berhasrat menyediakan bekalan mencukupi bagi memenuhi permintaan, namun ia bergantung kepada bekalan yang diperoleh.
Jelas beliau, pihaknya akan memastikan pelaksanaan jualan adalah secara tersusun dan teratur bagi memastikan lebih ramai pengguna berpeluang menikmati jualan ini.
"Hasrat kami untuk mengadakan program sebegini setiap tahun pada musim buah-buahan dengan tujuan pengguna mendapat harga terbaik dengan kualiti serta standard hasil pertanian yang terjamin," jelasnya.