10 murid Tahun Satu jadi pelajar sulung SRAIN Pahang

Iklan
Syed Ibrahim menyantuni murid sulung SRAIN Pahang sempena lawatan beliau ke sekolah itu pada Khamis.

KUANTAN - Seramai 10 murid Tahun Satu menjadi pelajar sulung Sekolah Rendah Agama Islam Negeri (SRAIN) Pahang di Cameron Highlands yang dibuka pada sesi persekolahan 2026, 12 Januari lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, SRAIN Pahang yang pertama dan milik penuh kerajaan negeri itu hasil cetusan idea Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekolah itu kini beroperasi sementara di bangunan rumah kedai di Golden Hill 12, Cameron Highlands.

"Bangunan kekal sekolah berkenaan akan dibina di tapak sebenar seluas empat hektar yang telah dikenal pasti di Taman Royalily, Tanah Rata," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Iklan

Syed Ibrahim yang hadir melawat sekolah itu pada Khamis menjelaskan, peruntukan RM15 juta disediakan bagi kos pembinaan sekolah berkenaan sebagaimana diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada pembentangan Belanjawan Negeri 2026 baru-baru ini.

Jelasnya, pembinaan turut melibatkan sebuah masjid daerah di tapak itu.

Iklan

Beliau berkata, pengambilan pertama pelajar tahun ini hanya melibatkan murid Tahun Satu dengan enam guru yang memfokuskan pembelajaran tahfiz al-Quran, akademik, agama Islam, bahasa Arab dan kurikulum bersepadu.

SRAIN di Cameron Highlands itu merupakan sekolah rendah agama Islam kerajaan negeri pertama dan menawarkan pendidikan asas agama lengkap serta berkualiti kepada murid sekolah rendah.

Kerajaan negeri Pahang melalui Facebooknya sebelum ini menjelaskan sekolah itu dikendalikan guru terlatih dan berpengalaman di bawah selian Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan kerajaan negeri.