Peniaga jangan ambil kesempatan naik harga makanan bazar Ramadan

Iklan
Zulkiflee (gambar kecil) turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi aspek kebersihan dan menggunakan khemah yang telah ditetapkan PBT sepanjang operasi bazar Ramadan tahun ini.

MELAKA - Peniaga bazar Ramadan di negeri ini diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan sepanjang operasi bazar Ramadan yang akan bermula bulan hadapan.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, tindakan sedemikian boleh memberi impak yang tidak baik kepada peniaga itu sendiri.

Iklan
Iklan

“Saya yakin peniaga ini merupakan peniaga lama yang memahami peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita harapkan agar mereka tidak mengambil kesempatan dengan kenaikan harga barang kerana perkara ini akan memberi impak yang tidak baik kepada peniaga sendiri,” katanya ditemui pada Perhimpunan Bulanan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Iklan

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi aspek kebersihan serta menggunakan khemah yang telah ditetapkan oleh PBT sepanjang operasi bazar Ramadan tahun ini.

Katanya, MPHTJ akan mengendalikan sebanyak 10 bazar Ramadan dan dua bazar Aidilfitri melibatkan keseluruhan 825 petak jualan.

Iklan

Antara lokasi bazar Ramadan ialah Jalan Tun Telani, Kampung Tun Razak; Taman Bukit Tambun Perdana 2; Pekan Durian Tunggal; dan tapak parkir Masjid Al-Alami, MiTC, manakala bazar Aidilfitri akan diadakan di tapak parkir MiTC dan Melaka Mall.

Sementara itu, Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, pihaknya menetapkan kadar sewa sebanyak RM385 kepada peniaga bazar bagi tempoh sebulan.

“Penganjur akan menguruskan permohonan lesen untuk peniaga di bawah mereka. Setakat ini, penganjur mengenakan caj sekitar RM385 kepada peniaga bagi tempoh sebulan berniaga dan kadar ini ditetapkan oleh MPHTJ.

“MPHTJ menetapkan kadar tersebut sebagai langkah kawalan bagi mengelakkan kenaikan sewa yang melampau serta sebarang isu yang boleh menimbulkan persepsi negatif seolah-olah ada pihak mengambil kesempatan sempena bulan Ramadan,” katanya.