KUALA PILAH – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, melahirkan kebimbangan terhadap gejala rasuah yang dilihat semakin berleluasa dan amat membimbangkan.
Baginda kecewa kerana wujud pihak yang terus memberikan sokongan kepada individu yang disabitkan atas tuduhan rasuah.
“Rasuah merupakan musuh utama kepada keadilan, amanah dan masa depan negara.
“Beta amat terperanjat dan kecewa apabila masih wujud pihak yang terus memberikan sokongan kepada individu yang telah disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah yang amat besar, seolah-olah perbuatan tersebut boleh diterima dan dimaafkan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-78 baginda di Istana Besar Seri Menanti, di sini, pada Rabu.
Titah baginda lagi, sikap sedemikian bukan sahaja mencerminkan kegagalan memahami bahaya rasuah yang meruntuhkan integriti institusi dan asas moral masyarakat, malah menuntut penilaian yang lebih mendalam terhadap akidah, prinsip hidup dan nilai pegangan diri.
Justeru, baginda menyeru mereka yang masih menyokong penjenayah seperti ini agar segera bermuhasabah diri serta menilai semula pendirian dan kepercayaan masing-masing.
“Ini kerana sebarang bentuk toleransi atau kompromi terhadap rasuah adalah bertentangan dengan prinsip kebenaran, keadilan serta amanah dan sama sekali tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang,” titah baginda.
Selain itu, baginda turut menggesa kerajaan negeri supaya memperkukuhkan usaha menangani kos sara hidup agar tiada rakyat tercicir, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Pencapaian mengurangkan kemiskinan tegar wajar diperkasakan melalui bantuan bersasar, kawalan harga, jaminan makanan serta peningkatan peluang pendapatan secara tersusun.
“Beta menyeru rakyat agar mengamalkan perbelanjaan berhemat, meningkatkan ilmu dan kemahiran serta menyokong inisiatif kerajaan negeri,” titah baginda.
Tuanku Muhriz juga menggesa kerajaan mempergiat penyediaan kemudahan kesihatan serta mempertingkat kualiti perkhidmatan kesihatan.
Sambil menyambut baik cadangan menaik taraf dan peluasan Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, baginda juga berharap pembinaan Hospital Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai dapat dipertimbangkan dengan teliti kerana ia berpotensi memperkukuh perkhidmatan kesihatan negeri ini.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz menitahkan supaya penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri sentiasa memelihara imej, tatasusila, tingkah laku dan keperibadian bagi menjaga kemuliaan serta pengiktirafan yang telah dikurniakan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta bakti yang telah diberikan.
Istiadat pada Rabu menyaksikan Tunku Kecil Muda, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin, mendahului senarai 532 penerima.
Beliau yang juga Penyelia Adat Istiadat Istana Besar Seri Menanti itu dianugerahkan Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM) yang membawa gelaran Datuk Seri.