MELAKA – Pempengaruh, Dak Nor yang pernah dilabel sebagai orang gila serta beberapa kali ‘ditahan’ polis akibat kehadirannya yang disalah tafsir sebagai kurang siuman, kini kian pulih.
Kesihatan mental pemilik nama Nor Kamariah Mohd Khalid Kourdes Lio, 42, semakin menunjukkan perkembangan positif hasil sokongan dan dorongan masyarakat setempat, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Wanita cekal itu pernah menerima Anugerah Kasih Wanita Cekal yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur, tahun lalu.
Terbaharu, menerusi satu perkongsian di media sosial, Noor Helmy berkongsi khabar gembira mengenai perkembangan kesihatan mental wanita berkenaan yang dilaporkan semakin baik.
Menerusi tangkap layar perbualan WhatsApp antara beliau dan Dak Nor, wanita itu memaklumkan bahawa rawatan yang diterimanya kini menunjukkan perkembangan positif dan tahap pemulihannya semakin baik.
Menurut Dak Nor, beliau tidak lagi perlu menjalani Terapi Elektrokonvulsif (ECT), sebaliknya kini hanya perlu menerima suntikan sekali setiap tiga minggu.
Dalam perbualan sama, wanita itu turut menzahirkan penghargaan kepada Noor Helmy atas sokongan dan keprihatinan yang diberikan sepanjang proses pemulihannya.
Sementara itu, Noor Helmy menerusi hantaran sama turut mendoakan kesejahteraan Dak Nor.
“Alhamdulillah. Semoga Dak Nor terus baik. Kita? Terus buat baik. Pembetulan: Saya tak buat apa-apa pun. Saya hanya buat kerja wakil rakyat sahaja.
“Yang susah payah membantu Dak Nor adalah orang Semabok, jemaah Masjid Al-Abrar Semabok, serta para peniaga sekitar. Mereka inilah hero yang tidak didendangkan.
“Tidak dilupakan juga Majlis Agama Islam Melaka, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka dan wad psikiatri Hospital Melaka,” katanya menerusi hantaran itu.
Menariknya, pada akhir perbualan WhatsApp tersebut, Noor Helmy sempat berseloroh bahawa Dak Nor kini sudah boleh berkahwin dengan seorang kenalannya yang dikenali sebagai Wan Pendek.