Kontroversi hotel didakwa 'mesra gay', pemilik akhirnya muncul

Iklan
Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai kontroversi hotel berkonsepkan mesra gay sehingga mendapat perhatian pihak berwajib.

MELAKA – Pemilik sebuah hotel yang didakwa berkonsepkan ‘mesra gay’ akhirnya tampil bagi memberi keterangan di pejabat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Melaka Mall di sini pada Selasa.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, lelaki warga tempatan itu hadir sekitar jam 10 pagi bagi sesi pertemuan yang turut melibatkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan
Iklan

Ia bagi menjalankan semakan dan mendapatkan maklumat lanjut daripada pemilik hotel berkenaan berhubung dakwaan aktiviti itu yang tular di media sosial sejak Isnin.

“Pemilik merupakan warga tempatan dan hari ini kita mengadakan perbincangan bersama pemilik, pihak polis, JAIM serta MPHTJ untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Iklan

Sapiah

“Sepatutnya dia datang pada Rabu, namun tidak dapat berbuat demikian dan hadir pagi ini bagi tujuan tersebut,” katanya pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ dan Amanat Tahun Baharu MPHTJ di Melaka Mall.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Mengulas lanjut beliau berkata, lesen perniagaan hotel itu telah ditahan sementara waktu sehingga satu keputusan dibuat hasil perbincangan bersama agensi terlibat.

“Setakat ini lesen hotel telah kita pegang dan hotel tidak dibenarkan beroperasi sehingga keputusan lanjut dibuat.

“Sama ada hotel itu boleh beroperasi semula atau sebaliknya akan ditentukan selepas semakan dan perbincangan bersama semua pihak terlibat,” katanya.

Pada Selasa, media melaporkan kerajaan Melaka mengarahkan JAIM menyiasat dakwaan sebuah hotel butik di negeri ini yang berkonsepkan ‘mesra gay’ selepas isu tersebut tular.

Susulan itu, MPHTJ bersama JAIM telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis terbabit sekitar jam 11 pagi, Selasa.

Bagaimanapun, didapati tiada penjaga premis atau pelanggan berada di lokasi semasa operasi dijalankan.

Pemeriksaan mendapati, salah sebuah bilik hotel berada dalam keadaan seperti baru digunakan, selain menemukan dua kotak kondom terpakai di dalam tong sampah.

Usaha mendapatkan penjelasan daripada pengurus hotel juga gagal apabila individu terbabit mengelak daripada hadir ke premis ketika serbuan dijalankan.

Pemilik sepatutnya hadir di pejabat MPHTJ pada Rabu, namun gagal berbuat demikian.

Sementara itu, Zulkiflee menggesa, pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya peka dan memantau aktiviti perniagaan berlesen bagi mengelakkan lesen tersebut disalahguna untuk aktiviti menyalahi undang-undang.

“Walaupun PBT mengeluarkan lesen, mereka perlu sentiasa peka terhadap aktiviti sebenar yang dijalankan.

“Kita bimbang terdapat aktiviti terselindung di sebalik premis tersebut sehingga akhirnya dihidu orang ramai dan ditularkan.

“Sebagai contoh, premis itu dilesenkan sebagai hotel untuk tempat penginapan, tetapi terdapat pula program tidak bermoral dianjurkan dan akhirnya PBT menjadi mangsa kepada isu tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pertemuan yang akan diadakan pada Khamis dijangka dapat merungkai dakwaan tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.