LUASNYA rahmat ALLAH SWT yang diturunkan kepada makhluk-NYA di dunia ini antaranya dapat dilihat melalui kasih sayang yang dibina sesama manusia dan sesama haiwan.
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Syed Shahrizan Syed Mohamed menjelaskan, apa yang dilihat manusia itu hanyalah satu peratus daripada rahmat ALLAH SWT yang dikurniakan kepada makhluknya di dunia ini.
“Dalam satu hadis disebutkan bahawa rahmat ALLAH ini terdapat 100 peratus dan hanya satu peratus dicampakkan ke dunia. Ia dikongsikan kepada seluruh makhluk.
“Lihatlah bagaimana ahli keluarga, emak dan ayah sayang kita dan bagaimana kita sayang kepada emak dan ayah kita.
Ramadan bulan rahmat
Menurutnya, salah satu daripada rahmat ALLAH itu juga termasuklah bulan Ramadan yang mewajibkan umat Islam untuk berpuasa.
“Ramadan merupakan bulan yang diturunkan rahmat kepada umat Nabi Muhammad SAW, digandakan pahala dan diberikan keampunan serta pembebasan diri daripada api neraka.
“Satu motivasi yang boleh kita dekatkan diri kita kepada ALLAH SWT apabila berpuasa ialah ganjarannya dirahsiakan ALLAH SWT,” hurainya.
Ia berdasarkan hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan anak-anak Adam itu adalah untuknya sendiri kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untuk-KU (ALLAH) dan AKU sendiri yang akan memberikan ganjarannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Ujarnya, dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menyebutkan setiap amalan kebaikan digandakan kepada 10 kali.
“Ia bermaksud setiap kebaikan kita lakukan digandakan sebanyak 10 kali. Amalan seperti solat, satu solat akan digandakan seolah-olah kita solat sebanyak 10 kali.
“Dalam peristiwa Israk dan Mikraj juga, ketika ALLAH memberi ‘diskaun’ daripada 50 solat sehari kepada hanya lima waktu sahaja, namun pahalanya seolah-olah kita mengerjakan 50 solat.
Tambahnya lagi, begitu juga dengan pahala orang yang melakukan umrah pada bulan Ramadan, ia digandakan sehingga menyamai pahala orang yang melaksanakan ibadah haji.
Ganjaran yang dirahsiakan
Bagaimanapun katanya, berbeza dengan puasa, ALLAH SWT tidak menyatakan ganjaran pahala puasa kepada orang yang berpuasa Ramadan dan puasa-puasa sunat yang lain.
“Ini yang dikatakan sebagai pahalanya dirahsiakan ALLAH dan menunjukkan betapa besarnya pahala puasa itu sendiri sehingga ganjaran berpuasa dirahsiakan berbanding ganjaran amalan lain.
“Dan mengapa puasa berbeza dengan ibadah lain? Ini kerana ibadah selain puasa seperti solat dan sedekah, ia terdedah kepada riyak.
Jangan sia-siakan Ramadan
Bagaimanapun beliau mengingatkan kepada umat Islam agar memastikan Ramadan yang dilalui tidak menjadi sia-sia berdasarkan sepotong hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Ujarnya, antara perkara yang boleh menjadikan Ramadan menjadi sia-sia termasuklah tidak meninggalkan perkataan keji dan dusta serta tidak meninggalkan amalan maksiat berdasarkan hadis:
“Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Oleh sebab itu katanya, peliharalah diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan pahala puasa termasuklah perbuatan menipu, mengumpat dan memfitnah serta amalan maksiat lain.