Hidupkan Ramadan dengan ibadah berkualiti

Iklan
HIDUPKAN malam-malam Ramadan dengan solat tarawih di samping ibadah-ibadah lain. Foto Canva

JAIS ajak umat Islam untuk bertadarus, membaca al-Quran dan bertadabbur ayat-ayat suci sempena bulan puasa ini

RAMADAN al-Mubarak bertamu kembali dan umat Islam hendaklah memanjatkan rasa syukur kepada ALLAH SWT kerana masih diberi peluang serta dipanjang usia hingga bertemu bulan ini.

Tidak semua hamba ALLAH diberi peluang untuk merasai bulan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan ini.

Iklan
Iklan

Pada bulan ini, pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya manakala pintu neraka ditutup rapat manakala rahmat ALLAH SWT dicurahkan kepada para hamba-NYA yang mencari keampunan dan keredaan.

Khutbah Jumaat bertajuk Menghidupkan Ramadan dengan ibadah yang berkualiti itu disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Iklan

Menurut JAIS, Rasulullah SAW memberi ancaman kepada orang yang masuk dalam bulan Ramadan, namun dia tidak memperoleh keampunan daripada ALLAH SWT atas kelalaian dirinya sendiri.

PERBANYAKKAN berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan pelbagai ibadah lain pada bulan Ramadan. Foto Canva

Iklan

Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Kehinaan kepada seorang lelaki yang memasuki bulan Ramadan, kemudian Ramadan berlalu sebelum dia diampunkan.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Banyakkan interaksi bersama al-Quran

JAIS turut mengingatkan jemaah agar menghidupkan Ramadan dengan memperbanyakkan tadarus, membaca al-Quran dan mentadabbur ayat-ayat suci al-Quran bersempena dengan bulan yang penuh keberkatan ini.

Ujarnya, Rasulullah SAW turut memberikan dorongan agar umat Islam memperbanyakkan interaksi dengan al-Quran khususnya dalam ibadah malam berdasarkan sepotong hadis, Baginda bersabda:

“Sesiapa yang bangun (beribadah malam) dengan membaca sepuluh ayat, dia tidak akan dicatat sebagai orang yang lalai. Sesiapa yang bangun dengan membaca seratus ayat, dia akan dicatat sebagai orang yang taat (qanitin). Dan sesiapa yang bangun dengan membaca seribu ayat, dia akan dicatat sebagai orang yang memperoleh ganjaran yang sangat besar.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kaitan puasa dan al-Quran

Menurut JAIS, Nabi SAW malah turut menjelaskan keistimewaan hubungan antara puasa dan al-Quran. Kedua-duanya bukan sekadar ibadah yang dilaksanakan di dunia, bahkan menjadi pembela dan pemberi syafaat di akhirat kelak berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Amru RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat kelak. Puasa berkata: ‘Wahai Tuhanku, aku telah menahannya daripada (menikmati) makanan dan nafsu syahwat di siang hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya.’ Dan al-Quran pula berkata: ‘Aku pula telah menahannya daripada tidur di malam hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya.’ Baginda melanjutkan sabdanya: ‘Maka kedua-duanya pun diizinkan memberi syafaat kepadanya’.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berqiyam dalam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan reda serta pahala daripada ALLAH), maka akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

BANYAKKAN bertadarus, membaca al-Quran dan bertadabbur dalam mengejar ganjaran besar pada Ramadan. Foto Canva

Pesan khatib lagi, semoga Ramadan kali ini mampu mendidik kita untuk memahami bahawa setiap detik ketaatan itu bernilai, setiap kesabaran itu berpahala dan setiap pengorbanan itu diperhatikan ALLAH SWT.

“Bahkan keletihan yang ditanggung dalam melaksanakan tanggungjawab dengan niat yang ikhlas juga menjadi sebab untuk kita tidak ketinggalan dalam mengejar fadilat Ramadan,” ujarnya.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib menasihatkan jemaah agar mengambil beberapa pengajaran untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian:

1 – Umat Islam hendaklah meraikan bulan Ramadan yang mulia dengan azam untuk memperbaiki diri menjadi lebih sempurna serta meninggalkan segala perbuatan dosa dan maksiat.

AMALAN bertadarus merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan. Foto Canva

2 – Umat Islam hendaklah memelihara ibadah puasa mereka agar tidak sia-sia di samping mempertingkatkan penghayatan terhadap al-Quran dengan bertadarus, mentadabbur dan mengamalkan setiap pengajaran yang terkandung di dalamnya.

3 – Umat Islam hendaklah merebut peluang menghidupkan bulan Ramadan ini dengan ibadah dan amalan soleh bagi meraih reda, rahmat dan keampunan ALLAH SWT serta mencapai kualiti takwa yang sebenar.