ISU ketirisan bantuan kerajaan kembali menjadi perbincangan hangat apabila Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan kerajaan berhak menarik balik bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekiranya pemohon didapati mengemukakan maklumat tidak tepat.
Pendedahan itu hadir dalam suasana media sosial yang semakin rancak dengan dakwaan segelintir penerima STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebenarnya memiliki gaya hidup mewah, aset bernilai tinggi atau perniagaan yang menjana pendapatan lumayan, namun tetap tersenarai sebagai penerima bantuan.
STR dan SARA diwujudkan bagi membantu golongan benar-benar memerlukan khususnya isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang terkesan dengan kos sara hidup.
Namun, apabila wujud individu menipu pendapatan atau tidak mengisytiharkan sumber sebenar, ia bukan sahaja menjejaskan integriti sistem bantuan, malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap keadilan dasar kebajikan kerajaan.
Lebih membimbangkan ketirisan ini berpotensi menyebabkan golongan layak tercicir atau menerima bantuan lebih kecil akibat kekangan peruntukan.
Isu tersebut juga mendedahkan cabaran besar dalam menilai pendapatan sebenar individu, khususnya mereka yang bekerja sendiri, berniaga kecil-kecilan atau mempunyai pendapatan tidak tetap.
Tidak seperti pekerja bergaji yang mempunyai penyata gaji dan caruman rasmi, kelompok ini lebih sukar dikesan tahap kemampuan sebenar mereka.
Situasi ini membuka ruang manipulasi data apabila kejujuran pemohon tidak disokong oleh sistem semakan menyeluruh.
Justeru, penegasan Kementerian Kewangan bahawa kerajaan boleh menarik balik bantuan dan mengambil tindakan sewajarnya perlu dilihat sebagai langkah tegas bagi memelihara dana awam.
Namun pada masa sama, pendekatan pencegahan dan penambahbaikan sistem juga perlu diperkukuh.
Antara langkah wajar dipertimbangkan ialah pengukuhan padanan data antara agensi seperti LHDN, JPJ, SSM, bank dan pihak berkuasa tempatan bagi menilai pemilikan aset serta corak perbelanjaan lebih menyeluruh.