BINTANG sensasi YouTube yang kini bergelar peninju profesional, Jake Paul membawa peminat meninjau ladang mewahnya bernilai AS$40 juta (RM162 juta) yang sedang dalam proses transformasi besar-besaran.
Paul mendedahkan bahawa dia menggunakan wang kemenangan hasil pertarungannya menentang legenda tinju, Mike Tyson pada November 2024 untuk membeli hartanah luas tersebut yang terletak di Georgia, Amerika Syarikat.
Sejak menewaskan Tyson, Paul terus aktif di gelanggang dengan mencatat kemenangan mutlak ke atas Julio Cesar Chavez Jr. pada Jun 2025.
Bagaimanapun, enam bulan kemudian, dia mengalami kekalahan teruk di tangan Anthony Joshua yang menyebabkan rahangnya patah dua bahagian.
Ketika sedang berehat bagi memulihkan kecederaannya, Paul memuat naik video jelajah hartanah seluas 6,000 ekar itu yang kini dikenali sebagai 'Paul Reserve'.
Antara penambahan awal yang mencuri tumpuan termasuk pembinaan litar 'Razor' terbesar di dunia untuk pemanduan off-road. Namun, Paul menegaskan itu hanyalah permulaan.
"Kami akan membina landasan untuk mendaratkan pesawat global 'Paul Air'.
"Ia akan menjadi landasan penuh sepanjang satu batu setengah (2.4 kilometer). Di kawasan tanah rata ini juga, kami akan membina litar Formula 1 (F1) yang lengkap," katanya.
Menurut Paul, dia mahu melakukan sesuatu yang berbeza berbanding pemilik kereta mewah lain yang hanya memandu jentera hebat mereka di lebuh raya biasa.
"Bina litar lumba supaya saya benar-benar boleh memandu kereta tersebut, dan kemudian teruskan menambah koleksi kereta terpantas serta kereta lumba," jelasnya.
Paul turut berkongsi visinya untuk menjadikan hartanah itu sebagai sebuah kelab keahlian eksklusif. Ahli kelab berpeluang memiliki rumah di tepi litar, menyimpan kenderaan di garaj peribadi, serta menggunakan litar dan landasan pesawat pada bila-bila masa.
Setakat ini, ladang tersebut sudah dilengkapi dengan laluan masuk sepanjang tiga batu, empat buah rumah, kedai, serta gimnasium tinju lengkap dengan gelanggang untuk latihan Paul.
Selain itu, ia turut mempunyai bangunan penyimpanan peralatan, stesen minyak peribadi untuk kegunaan kenderaan di tapak, serta lokasi khusus untuk aktiviti sukan air di tasik.
Meskipun sudah kelihatan lengkap, Paul menganggarkan dia belum lagi meneroka satu perlima daripada keseluruhan kawasan hartanah tersebut.
Mengulas mengenai pemilihan lokasi di Georgia berbanding kediamannya di Puerto Rico, Paul berkata dia memerlukan tanah yang rata dan cuaca yang sesuai.
"Banyak hartanah di tempat lain seperti Tennessee mempunyai terlalu banyak lembah. Saya perlukan tanah rata untuk mendaratkan jet bersaiz penuh dan membina litar lumba.
"Saya juga mahu cuaca yang baik sepanjang tahun, tidak seperti kawasan pergunungan yang sering berdepan musim sejuk yang panjang," ujarnya.