Lebih setengah bilion mohon tiket Piala Dunia 2026

Iklan
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum (kiri), dan Presiden FIFA, Gianni Infantino (kanan), bergambar bersama sebiji bola semasa majlis undian Piala Dunia Bola Sepak FIFA 2026 pada 5 Disember lalu. Foto AFP

BERLIN - FIFA telah menerima lebih setengah bilion permohonan tiket bagi Piala Dunia 2026 dalam fasa jualan terbaharu, walaupun berdepan kritikan peminat berhubung harga tiket yang tinggi.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, badan induk bola sepak dunia itu berkata, Jerman mencatatkan jumlah permohonan tertinggi selepas tiga negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.

Iklan
Iklan

Tempoh jualan berlangsung dari 11 Disember hingga Selasa lalu dan buat pertama kali, tiket individu bagi perlawanan serta pasukan tertentu dalam peringkat kumpulan ditawarkan. Peminat akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada 5 Februari sama ada mereka berjaya atau tidak melalui cabutan rawak.

Mereka yang tidak berjaya dalam fasa ini masih mempunyai peluang untuk membeli tiket dalam fasa jualan kedua, yang akan dibuka sehingga tamat kejohanan.

Iklan

“Setengah bilion permohonan tiket dalam tempoh lebih sebulan bukan sekadar permintaan, ia adalah satu kenyataan global,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Sepanjang tempoh jualan itu, FIFA memperkenalkan kategori tiket baharu untuk peminat setia sebagai reaksi terhadap bantahan global mengenai harga tiket yang tinggi.

Iklan

Kategori baharu yang dikenali sebagai “Supporter Entry Tier” ini terpakai kepada kesemua 48 pasukan Piala Dunia dan semua perlawanan di Kanada, Mexico dan AS dari 11 Jun hingga 19 Julai.

Bagaimanapun, tiket berharga lebih rendah ini adalah terhad.

FIFA memperuntukkan lapan peratus tiket bagi setiap perlawanan kepada penyokong setiap pasukan yang bertanding melalui persatuan kebangsaan masing-masing, dengan hanya 10 peratus daripada jumlah peruntukan itu termasuk dalam kategori tiket baharu tersebut. - Bernama/DPA