MAINPP tidak campur tangan, pemilihan ahli jawatankuasa masjid ikut enakmen

Iklan
Mohamad (tengah) menyampaikan cek cura bernilai RM4.33 juta bagi BAP 2026 daerah Barat Daya di SMK Sungai Ara pada Khamis.

BAYAN LEPAS - Dakwaan bahawa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) campur tangan dalam pemilihan ahli jawatankuasa masjid adalah tidak tepat dan berpunca daripada salah faham terhadap peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, MAINPP sememangnya diberi kuasa oleh undang-undang untuk mengawal selia hal ehwal pentadbiran agama Islam di negeri ini termasuk urusan pengurusan masjid dan surau.

Iklan
Iklan

“Dari sudut enakmen dan akta, hal ehwal pentadbiran agama Islam adalah di bawah kawal selia MAINPP. Ketua agama Islam bagi Pulau Pinang ialah Yang di-Pertuan Agong.

"Pelantikan jawatankuasa kariah masjid dibuat oleh MAINPP dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada dan bukan berdasarkan kepentingan politik," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 Daerah Barat Daya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara di sini, pada Khamis.

Menurutnya, proses pemilihan jawatankuasa masjid bermula di peringkat akar umbi apabila anak kariah sendiri memilih dan menamakan 15 individu tanpa jawatan melalui kaedah yang telah diperkenankan.

Iklan

“Pemilihan ini dibuat oleh anak kariah, bukan oleh MAINPP. Anak kariah yang mengundi dan mencadangkan nama. MAINPP hanya melaksanakan tanggungjawab dari sudut pelantikan berdasarkan enakmen.

"Jika mahu dibuat perbandingan, ia sama seperti Jabatan Pendidikan Negeri yang berperanan mengawal selia sekolah. Sekolah mempunyai pengetua, manakala JPN bertanggungjawab sebagai badan pentadbiran dan pengawal selia.

Dalam konteks masjid dan surau, peranan tersebut dimainkan oleh MAINPP. Maka, tidak timbul soal campur tangan kerana ia merupakan tanggungjawab yang termaktub dalam undang-undang," ujarnya lagi.

Tambah beliau, senarai nama yang dipilih akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan Daerah yang dianggotai sepenuhnya oleh penjawat awam, termasuk wakil pejabat daerah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAINPP), penghulu, wakil MAINPP serta Polis Diraja Malaysia.

"Jawatankuasa Pemilihan Daerah kemudiannya akan menentukan jawatan seperti pengerusi, setiausaha dan bendahari sebelum mengangkat cadangan tersebut kepada JHEAINPP dan seterusnya kepada MAINPP untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Keseluruhan proses ini melibatkan 209 masjid dan dibuat mengikut prosedur yang jelas, telus serta berlandaskan undang-undang. Mesyuarat MAINPP hanya memperakukan cadangan yang telah melalui proses ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penggunaan istilah ‘campur tangan’ adalah tidak tepat kerana MAINPP hanya melaksanakan peranan sebagai badan pengawal selia seperti yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Sebelum ini, terdapat dakwaan beberapa pihak yang mengatakan MAINPP telah masuk campur dalam pemilihan ahli jawatankuasa kariah semua masjid di negeri ini.

Menurut dakwaan itu lagi, sebarang campur tangan MAINPP dalam pemilihan jawatankuasa kariah masjid adalah tidak sah dari segi undang-undang berdasarkan peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004.

Menurut pihak berkenaan, perkara itu merujuk kepada surat terdahulu bertarikh 12 November 2025 serta maklumat terkini yang diterima berhubung kemungkinan MAINPP meneruskan campur tangan dalam pemilihan jawatankuasa kariah bagi semua masjid di negeri ini.

Kata mereka, berdasarkan Seksyen 2 Enakmen berkenaan, ahli kariah ditakrifkan sebagai individu yang tinggal tetap atau lazimnya bermukim dalam sesuatu kariah masjid, manakala kariah masjid pula merujuk kepada kawasan di mana masjid itu terletak.