BALING - Operasi pemindahan seekor gajah liar di Kampung Charok Kapas, Kupang di sini berjaya dilakukan dengan bantuan dua ekor gajah denak bernama Sanum dan Rambai.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, gajah liar jantan itu berjaya dikeluarkan dan dihantar ke habitat selamat dalam satu operasi pada Rabu.
Menurutnya, operasi membabitkan lebih kurang 23 petugas terdiri daripada kakitangan Jabatan Perhilitan Kelantan, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah serta empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah.
"Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perhilitan Kedah telah berjaya menangkap seekor gajah liar jantan pada 7 Januari 2026.
"Pada 14 Januari sekitar jam 8 pagi tadi, pembinaan 'loading bay' dan penarikan gajah liar telah dilakukan...proses ini selesai kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi
"Jarak penarikan ke loading bay lebih kurang 100 meter," katanya.
Menurutnya, kemunculan gajah jantan dengan ukuran saiz tapak kaki sepanjang 41 sentimeter itu dikesan sejak Disember tahun lalu.
Beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan bertujuan mengusir haiwan tersebut namun tidak berhasil.
"Aduan berulang diterima mengenai kehadiran gajah tersebut sejak tiga minggu lalu dan gajah jantan ini dipercayai datang dari kawasan Hutan Simpan Gunung Inas," katanya.
Jelas beliau, gajah liar tersebut berada dalam keadaan sihat setelah pemeriksaan dan pemantauan dilakukan petugas Jabatan Veterinar negeri.
"Pemasangan mikrocip dan pengukuran morfologi juga telah dilakukan," jelas beliau.