ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah meningkatkan pemantauan di semua stesen minyak berdekatan sempadan bagi memastikan tiada kenderaan asing mengisi RON95 di negara ini.
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, langkah itu bagi mengatasi masalah ketirisan selain mengesan pengusaha yang ingkar arahan larangan penjualan bahan api bersubsidi itu kepada warga asing.
"Kita turut berterima kasih kepada orang awam yang ada kesedaran dan dapat mengesan nombor plat kenderaan asing di stesen-stesen minyak kita.
"Kes terbaharu melibatkan stesen minyak di Sungai Petani yang didapati menjual RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing baru-baru ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Aspresiasi Pengguna dan Media bersama KPDN Kedah di sini malam Selasa.
Mengenai hala tuju KPDN Kedah tahun ini, Muhammad Nizam berkata, selain meningkatkan penguatkuasaan, Program Jualan Rahmah (PJR) akan dimantapkan dan diteruskan seluruh negeri.
Beliau berkata, tumpuan penganjuran adalah di kawasan pedalaman bagi membolehkan penduduk menikmati barangan pada harga murah hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.
"Kita akan adakan tiga kali setiap bulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dan ini hasrat kerajaan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat," katanya.
Sementara itu, orang ramai disaran memuat naik aplikasi eCOSS bagi melancarkan pembelian minyak masak paket 1 kilogram yang dijual RM2.50 sepaket di PJR dan pasaraya.
"Di PJR sememangnya wajib guna aplikasi ini. Kita tetap adakan advokasi bagi mendidik masyarakat menggunakan aplikasi tersebut... Kita faham ada beberapa kesulitan seperti capaian Internet, kalau ada sebarang masalah boleh terus menghubungi KPDN," katanya.- Bernama