PEMASIK anjur pertandingan bola sepak 9 sebelah

Iklan
Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah akan berlangsung pada 31 Januari 2026 di Kompleks Sukan Perdana, Majlis Daerah Sik, Kedah.

SIK – Pertubuhan Muafakat Anak Muda Sik (PEMASIK) dengan kerjasama Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Al-Nur Jannah akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah pada 31 Januari 2026 di Kompleks Sukan Perdana, Majlis Daerah Sik, Kedah.

Kejohanan itu membawa misi dwifungsi iaitu mencungkil bakat bola sepak tempatan dan dalam masa sama menggerakkan usaha kebajikan untuk membantu operasi serta program pemulihan PDK Al-Nur Jannah.

Iklan
Iklan

Pengarah kejohanan, Adli Adnan berkata, sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah kutipan kejohanan akan disalurkan ke dalam Tabung PDK Al-Nur Jannah, sebagai sokongan terhadap usaha membantu golongan istimewa.

“Kejohanan ini diperkasakan lagi dengan kerjasama strategik bersama The Cabin Cetak, syarikat berpengkalan di Sik yang pakar dalam penyediaan pakaian sublimasi, cenderahati dan trofi kejohanan.

Iklan

“Sumbangan mereka termasuk penajaan pingat dan kelengkapan urus setia, sekali gus membuktikan komitmen dalam menyokong pembangunan bakat muda tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Adli turut mengajak syarikat korporat dan orang ramai untuk menyumbang dalam menjayakan kejohanan ini, sambil menekankan konsep 'bermain sambil menderma' yang menjadi semangat utama penganjuran.

Iklan

Menurut beliau, kejohanan ini terhad kepada 32 pasukan sahaja dengan yuran penyertaan sebanyak RM250 bagi setiap pasukan. Setakat ini, 20 pasukan termasuk dari Pulau Pinang telah mengesahkan penyertaan.

Tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 22 Januari 2026 dan kejohanan ini turut menawarkan hadiah wang tunai serta trofi kepada pemenang.

Johan akan membawa pulang RM3,000, medal dan trofi; naib johan RM1,500, medal dan trofi; tempat ketiga RM700 dan hamper manakala tempat keempat menerima RM300 dan hamper.

Orang ramai, pasukan bola sepak serta kelab-kelab sukan tempatan dijemput menyertai kejohanan ini sebagai usaha menyemarakkan sukan akar umbi dan menyumbang kepada kebajikan komuniti.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi Adli (011-29619374) atau Acap (011-15454736) atau melayari Facebook Radek Pemasik.