SEREMBAN -Pemilik kucing di Seremban 2 yang didakwa mengurung haiwan peliharaannya dalam sangkar dipenuhi najis serta gagal menyediakan makanan dan minuman bersih diberikan tempoh seminggu oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) untuk melakukan penambahbaikan.
Pengarahnya, Dr Nurul Ain Ahmad berkata, sekiranya gagal berbuat demikian, pemilik boleh didakwa di mahkamah di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh didenda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000.
Menurutnya, pihak jabatan telah pun menjalankan pemeriksaan ke atas rumah pemilik susulan aduan diterima dan mendapati keadaan sangkar kucing serta persekitaran rumah adalah tidak bersih dan tidak sesuai untuk haiwan terbabit dijaga.
"Berikutan itu, pemilik telah pun diberikan notis untuk menyediakan persekitaran dan kemudahan yang lebih sesuai untuk menempatkan kucing-kucingnya.
"Pihak jabatan akan ke rumah pemilik semula bagi tujuan pemantauan dan jika tiada penambahbaikan dilakukan selepas seminggu, tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas pemilik," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Malah katanya, kesemua kucing tersebut boleh diberi milik kepada individu yang mampu menjaga haiwan itu sekiranya pemilik gagal mematuhi notis terbabit.
Jelasnya, empat kucing pemilik telah pun diselamatkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta telah dihantar menerima rawatan di Klinik Veterinar Putra Nilai.
"Ketika siasatan dilakukan, kesemua kucing tersebut berada dalam keadaan baik dijaga penyelamat.
"Orang awam dinasihatkan untuk menghubungi pihak jabatan melalui talian jabatan sebelum mengambil tindakan terhadap aduan pengabaian atau penganiayaan haiwan peliharaan daripada pemilik atau rumah bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan pihak jabatan," katanya.