REACH desak henti projek jalan pintasan di Tanah Rata bimbang kestabilan cerun terjejas

Iklan
Hujan lebat selama dua hari berturut-turut menyebabkan tanah runtuh, hakisan dan banjir kilat di beberapa lokasi di Cameron Highlands.

CAMERON HIGHLANDS — Regional Environmental Awareness Cameron Highlands (REACH) mendesak kerajaan supaya menghentikan serta-merta kerja-kerja projek Jalan Pintasan Royal Lily ke Villa Dahlia, Tanah Rata di sini hingga keselamatan cerun, keadaan geologi, sistem saliran dan risiko bencana di kawasan tersebut dinilai secara menyeluruh.

Presidennya, Dilip Martin berkata, desakan itu dibuat susulan kejadian hujan lebat selama dua hari berturut-turut sehingga menyebabkan tanah runtuh, hakisan dan banjir kilat di beberapa lokasi di kawasan tanah tinggi itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian tersebut tidak boleh dipandang sebagai perkara biasa memandangkan kawasan projek yang dicadangkan berada berhampiran Gunung Jasar, Tanah Rata yang mempunyai cerun semula jadi dan sistem saliran yang perlu diberikan perhatian serius.

"Kejadian yang berlaku baru-baru ini seharusnya menjadi satu amaran awal kepada pihak berkuasa kerana hujan dalam tempoh yang singkat sudah mampu menghasilkan aliran air yang deras, hakisan serta ketidakstabilan tanah di beberapa kawasan," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Dilip berkata, semua pihak juga perlu mengambil serius prinsip keselamatan serta setiap tanda awal risiko.

Dilip

Iklan

Katanya, apabila sesuatu kawasan mempunyai cerun yang sensitif, menerima hujan lebat dan menunjukkan kejadian tanah runtuh serta banjir kilat, sepatutnya sebarang kerja yang boleh mengubah keadaan cerun dan sistem saliran mestilah melalui penilaian risiko yang amat ketat.

"Justeru itu, kami minta pihak berkuasa menilai semula kestabilan cerun semula jadi; keadaan geologi dan jenis tanah; sistem saliran sedia ada dan aliran air permukaan di kawasan projek terbabit.

"Pada masa sama, penilaian juga perlu bagi mengenal pasti aliran air bawah tanah; kesan hujan ekstrem; risiko hakisan dan kegagalan cerun; kesan kumulatif pembangunan di kawasan Gunung Jasar dan Tanah Rata serta keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya," katanya.

Jelasnya, desakan itu bukan bermakna mereka antipembangunan, malah memahami keperluan untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan di Cameron Highlands.

Kejadian banjir di Cameron Highlands pada Jumaat akibat hujan berterusan meresahkan penduduk.

Bagaimanapun, katanya, setiap pembangunan mesti dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan mengambil kira daya tampung alam sekitar.

Badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar itu justeru merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar campur tangan dan mendengar keluhan penduduk Cameron Highlands.

"Kami memohon agar Kerajaan Persekutuan menghentikan sementara kerja berkaitan projek Jalan Pintasan Royal Lily–Villa Dahlia sehingga penilaian keselamatan selesai," katanya.

Selain itu, Dilip meminta agar ruang diberikan kepada penduduk, NGO alam sekitar, pakar geologi, jurutera cerun dan pihak berkepentingan untuk menyuarakan pandangan mereka serta memastikan sebarang keputusan akhir mengutamakan keselamatan rakyat dan kelestarian alam sekitar.