‘Saya berlapang dada dengan ujian ini’ - Ibu tabah jaga Muhammad Nuh

Iklan
Siti Nur Najwa bersama anak bongsunya, Muhammad yang diuji dengan pelbagai komplikasi kesihatan kronik sejak lahir

KUANTAN - Tidak mudah bagi seorang ibu melihat anak kecilnya yang baru mencecah usia dua tahun bertarung dengan pelbagai masalah kesihatan sejak dilahirkan.

Namun, Siti Nur Najwa Zamrifaizal, 23, memilih untuk terus kuat menghadapi ujian selepas anaknya, Muhammad Nuh Alfateh Abdullah disahkan menghidap sindrom Down, selain tidak mempunyai lubang dubur dan mengalami komplikasi jantung, laringomalasia serta masalah paru-paru.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun pada awalnya sukar, namun akhirnya dia belajar menerima takdir tersebut kerana setiap yang berlaku adalah ketentuan ALLAH.

“Pernah rasa penat, tapi bila tengok muka Muhammad Nuh, saya perlu berlapang dada dengan ujian ini.

Iklan

“Kalau bukan saya yang urus dan jaga dia, siapa lagi yang dia boleh harapkan? Jadi, mahu tidak mahu saya harus jadi insan kuat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Berkongsi lanjut, Siti Nur Najwa berkata, Muhammad Nuh dilahirkan pramatang ketika usia kandungan 34 minggu sebelum disahkan menghidap masalah kesihatan.

Iklan

Ujarnya, ketika berusia dua hari, Muhammad Nuh menjalani pembedahan untuk membuat bukaan pada bahagian perut bagi membolehkan najis dikeluarkan sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama kira-kira lima bulan.

“Selepas dibenarkan pulang, kira-kira 10 hari kemudian Nuh dimasukkan semula ke hospital kerana mengalami jangkitan kuman dan masalah pernafasan.

“Selepas itu, dia ditahan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) selama kira-kira tujuh hingga lapan bulan,” katanya.

Siti Nur Najwa berkata, sepanjang berada di PICU, Muhammad Nuh beberapa kali memerlukan bantuan pernafasan, menjalani intubasi serta empat kali resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum doktor melakukan pembedahan trakeostomi atau tebuk leher.

“Kasihan sangat bila tengok dia (Muhammad Nuh), tapi doktor maklumkan saluran pernafasannya masih sempit dan paru-parunya masih kecil.

“Jika ditutup, Muhammad Nuh akan bertukar kebiruan dan tidak dapat bernafas melalui hidung,” katanya.

Dia menambah, keadaan itu menyebabkan dirinya perlu memantau Muhammad Nuh sepanjang masa kerana masalah pernafasan boleh berlaku secara tiba-tiba.

“Tengah malam pun saya kena sentiasa bangun periksa kahak. Pernah beberapa kali Muhammad Nuh sesak nafas tiba-tiba sebab kahak tersumbat pada tiub, memang panik dibuatnya,” kongsinya lagi.

Muhammad Nuh disahkan menghidap Sindrom Down, selain tidak mempunyai lubang anus serta mengalami komplikasi jantung, laryngomalacia dan masalah paru-paru. Foto Sinar Harian

Menyentuh perbelanjaan untuk anaknya itu, Siti Nur Najwa mengakui Muhammad Nuh memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1,200 sebulan dan ia tidak termasuk kos perjalanan ke hospital.

Jelasnya, jumlah itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang, keperluan beg stoma, wayar serta cecair untuk menyedut kahak dan susu khas.

“Susu khas satu tin sudah RM110 lebih dan hanya tahan untuk tiga hari. Memang agak berat untuk kami sediakan setiap bulan,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Nur Najwa berkata, suaminya, Abdullah Hashim, 26, kini membantu ibu saudaranya menjual ikan bagi menampung kehidupan keluarga dengan pendapatan harian antara RM40 hingga RM80 bergantung kepada bekalan ikan.

“Kami juga menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 untuk Muhammad Nuh, namun jumlah itu masih belum mencukupi.

“Selain itu, kami pernah menerima sumbangan susu khas secara sekali beri daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk tempoh enam bulan yang akan berakhir tidak lama lagi,” katanya.

Dia berharap orang ramai dapat membantu meringankan beban keluarganya bagi memastikan keperluan rawatan dan penjagaan Muhammad Nuh dapat dipenuhi secara berterusan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0699541000311601 atas nama Siti Nur Najwa.