Muatan jatuh dedah pelbagai kesalahan, motolori di sita

Iklan
Sebahagian muatan gelung besi yang dibawa sebuah motolori jenis semi treler kargo am disita JPJ Pahang susulan kejadian muatan jatuh di hadapan Kilang MCKIP Gebeng, Jalan Pintasan Sungai Ular. - Foto :JPJ Pahang

KUANTAN - Kejadian muatan jatuh yang turut melibatkan sebuah kenderaan lain di hadapan Kilang MCKIP Gebeng, Jalan Pintasan Sungai Ular, di sini, membawa kepada penemuan beberapa kesalahan membabitkan sebuah motolori jenis semi treler kargo am sehingga menyebabkan kenderaan itu disita.

Perkara itu didedahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Semi treler kargo am yang disita JPJ Pahang selepas terbabit kejadian muatan jatuh di hadapan Kilang MCKIP Gebeng, Kuantan. Foto: JPJ Pahang

Menurut kenyataan tersebut, hasil pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perakuan pemeriksaan treler telah tamat tempoh.

Iklan

"Pemandu turut dikesan melakukan beberapa kesalahan termasuk tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL), membawa muatan dengan cara berbahaya serta menyebabkan muatan jatuh.

"Notis saman JPJ P22 telah dikeluarkan terhadap pemandu, manakala pemilik disiasat di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," katanya.

Iklan

Kenyataan itu memaklumkan, kenderaan berkenaan turut disita di bawah Seksyen 80(1) akta yang sama.

Sehubungan itu, JPJ Pahang mengingatkan semua pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan supaya memastikan kenderaan serta muatan sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Tegasnya, langkah itu bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya.