IPOH – Usaha meningkatkan kadar sara diri (SSL) daging lembu di negara ini wajar diberi keutamaan oleh kerajaan dengan memperluaskan kawasan penternakan lembu berbanding ternakan babi yang kini didakwa telah melebihi keperluan domestik.
Seorang penternak, Mohd Hashim Ayub berkata, ketika ini Malaysia masih bergantung kepada import lembu dari Thailand bagi memenuhi permintaan dalam negara, berbeza dengan ternakan babi yang sebahagiannya dieksport ke luar negara.
Menurutnya, walaupun eksport babi memberi pulangan ekonomi kepada negara, keperluan daging lembu untuk pasaran tempatan tidak boleh diketepikan.
“Setiap perkara ada pro dan kontra. Eksport babi menjana pendapatan, namun pada masa sama kita terpaksa mengimport lembu bagi memastikan bekalan daging dalam negara mencukupi.
“Jika kerajaan memberi tumpuan kepada penternakan lembu sehingga tahap SSL dapat dicapai, ia bukan sahaja menjamin bekalan makanan, malah mampu menjimatkan perbelanjaan negara kerana tidak lagi bergantung kepada import,” katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.
Mohd Hashim turut menyedari beberapa usaha ke arah meningkatkan pengeluaran ternakan lembu kini sedang dilaksanakan kerajaan, termasuk program pembiakan baka, pengimportan lembu serta pelaksanaan skim fidlot.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan langkah yang baik namun perlu dilaksanakan secara serius dan melibatkan pemain industri berpengalaman bagi memastikan keberkesanannya.
“Faktor paling penting ialah modal insan. Tanpa tenaga kerja mahir dan berpengetahuan, saya bimbang sasaran yang ditetapkan tidak akan tercapai kerana penternakan lembu bukan sesuatu yang mudah.
“Kita juga perlu berhati-hati agar perancangan dibuat secara seimbang bagi mengelakkan lambakan yang boleh menjejaskan kestabilan harga,” katanya yang telah berkecimpung dalam industri tersebut sejak lebih 30 tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan memberi perhatian kepada subsidi makanan ternakan memandangkan kira-kira 70 peratus kos penternakan lembu melibatkan perbelanjaan makanan.
Katanya, jika isu kos ini dapat ditangani, penternak tempatan mampu meningkatkan pengeluaran sekali gus memastikan rakyat menikmati daging pada harga berpatutan tanpa perlu bergantung kepada import.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak memaklumkan bahawa Malaysia memerlukan lebih tiga juta ekor lembu menjelang 2030 bagi memenuhi keperluan bekalan daging dan tenusu domestik.
Beliau berkata, pembangunan industri ruminan negara menjadi antara fokus utama KPKM dalam perancangan jangka panjang untuk memperkukuh sektor agromakanan melalui penerapan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan dron bagi meningkatkan produktiviti sektor itu.