IPOH – Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak tampil memperjelaskan dakwaan tular di media sosial berhubung kononnya wujud pembatalan status tanah rizab Melayu di negeri ini secara senyap oleh pihak pentadbiran tanah.
Menurut kenyataan media PTG Perak pada Selasa, dakwaan berkenaan dipercayai merujuk kepada status tanah bagi plot PT 32509 di Mukim Lambor Kanan, Perak Tengah yang sebelum ini pernah dibangkitkan di media sosial dan telah dijelaskan oleh kerajaan negeri.
Jelas kenyataan itu, hasil semakan dan pengesahan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Perak mendapati plot tanah berkeluasan 1,941 ekar tersebut bukan berstatus tanah rizab Melayu seperti yang didakwa.
"Kekeliruan timbul susulan penularan tangkap layar carian rasmi sekitar Oktober 2024 yang menunjukkan terdapat catatan 'kemasukan tanah rizab Melayu' bagi plot berkenaan yang belum didaftarkan.
"Pihak yang menyebarkan tangkap layar tersebut kemudiannya mendakwa catatan berkenaan telah ‘hilang’ dalam carian rasmi terkini, lalu membuat kesimpulan bahawa status tanah rizab Melayu telah dibatalkan," menurut kenyataan itu.
PTG Perak menegaskan bahawa catatan yang ditularkan bukanlah endorsan atau pengisytiharan tanah rizab Melayu sebaliknya hanyalah catatan urusan dalam perserahan yang belum didaftarkan sebagaimana dinyatakan dengan jelas dalam carian rasmi sistem e-Tanah.
Jelasnya, kewujudan catatan 'kemasukan tanah rizab Melayu' itu berlaku kerana sistem e-Tanah mengesan terdapat pertindihan sempadan melibatkan sebahagian kecil kawasan seluas 12.44 hektar (31.1 ekar) daripada keseluruhan PT 32509 dengan tanah Felcra Nasarudin yang sememangnya berstatus tanah rizab Melayu.
Sehubungan itu, PTG Perak telah mengambil tindakan penyelesaian dengan mengeluarkan kawasan yang bertindih berkenaan bagi memastikan tanah seluas 12.44 hektar tersebut kekal sebagai tanah rizab Melayu Felcra Nasarudin.
Menurut kenyataan tersebut, langkah berkenaan membuktikan bahawa pihak berkuasa tanah sentiasa bertindak secara cermat dan berhemah dalam memastikan sistem serta prosedur pengurusan tanah terus melindungi kepentingan tanah rizab Melayu seperti termaktub dalam Enakmen Tanah Rizab Melayu.
Sebelum ini tular rakaman video di media sosial menerusi akaun TikTok seorang individu mendakwa kononnya endorsan kemasukan tanah rizab Melayu bagi satu plot tanah telah dibatal dan dipadam statusnya secara senyap oleh pentabdiran tanah.