Festival makanan dalam radar KPDN

Iklan
Kamalludin menunjukkan video TikTok berkaitan operasi dan tinjauan dilakukan KPDN Perak terhadap festival makanan yang berlangsung di Ipoh baru-baru ini.

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak memberi jaminan bahawa setiap penganjuran festival makanan berskala besar di negeri ini sentiasa berada dalam radar pemantauan dan penguatkuasaan pihaknya bagi memastikan hak pengguna terus terpelihara.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, seramai 177 pegawai pemeriksa digerakkan setiap hari untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan, termasuk secara khusus di lokasi festival makanan yang dijangka menarik kehadiran ribuan pengunjung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemantauan dilaksanakan sama ada melalui kehadiran pegawai berpakaian seragam mahupun penyamaran bagi menilai tahap pematuhan peniaga terhadap peraturan di bawah KPDN.

"Kita tidak menunggu aduan atau jemputan. Setiap kali ada festival makanan besar yang menjadi tumpuan pengguna di Perak, kita akan hadir untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan secara langsung di lapangan.

Iklan

"Bila melibatkan pengguna dan perkara di bawah bidang kuasa KPDN, kita akan hadir bagi memastikan peniaga mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya kepada Sinar Harian.

Kamalludin berkata, KPDN sentiasa mengambil inisiatif sendiri untuk turun ke lokasi berdasarkan pemantauan awal, terutamanya festival makanan yang dipromosikan oleh pempengaruh media sosial sehingga menarik kehadiran ramai pengunjung.

Iklan

Mengulas mengenai aduan harga makanan, beliau menjelaskan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi berkaitan harga tidak munasabah di festival makanan, meskipun terdapat rungutan pengguna di media sosial.

Menurutnya, harga mahal semata-mata tidak boleh dikategorikan sebagai pencatutan kerana pengguna masih mempunyai pilihan untuk membeli atau tidak, kecuali jika berlaku kenaikan harga melampau dan tidak munasabah.

"Pencatutan bermaksud kenaikan harga tanpa asas yang munasabah. Jika berlaku, laporkan kepada KPDN supaya siasatan boleh dibuat dan kita ada mekanisme tersendiri untuk menentukannya.

"Tapi aduan rasmi mestilah disertakan dengan bukti seperti resit, gambar, lokasi dan masa kejadian. Bila ada maklumat lengkap, mudah untuk kita ambil tindakan,” jelasnya.

Menurutnya, setakat ini tiada peniaga makanan dikenakan tindakan kompaun berkaitan pencatutan, namun beberapa teguran telah dikeluarkan terutama berkaitan paparan tanda harga yang kecil atau mengelirukan.

Beliau turut menasihatkan pengguna agar memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ KPDN dengan memastikan harga dipamerkan dengan jelas sebelum membuat pembelian serta menyimpan resit jika berlaku ketidakpatuhan.

Dalam pada itu, Kamalludin mencadangkan agar pemilik tapak sama ada pihak berkuasa tempatan atau syarikat berkaitan kerajaan boleh memainkan peranan dengan meletakkan syarat kepada penganjur supaya tidak mengenakan harga keterlaluan bagi jualan mereka kepada pengguna.

Jelasnya, KPDN tidak mempunyai kuasa menetapkan harga jualan di festival makanan dan hanya boleh mengambil tindakan melibatkan barang-barang kawalan.

Sebelum ini Sinar Harian menerusi laporan khas pada 5 Januari lalu menyiarkan isu harga makanan didakwa lebih mahal di festival, berbanding pasaran luar yang mencetuskan rungutan pengunjung walaupun ada berpendapat faktor tarikan visual dan populariti makanan menjadi penentu utama pembelian.

Perbezaan harga yang dikenakan bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna berpendapatan rendah malah menimbulkan perdebatan sama ada nilai itu wajar dari segi keperluan harian rakyat.