TAPAH - Perak masih memerlukan penyelarasan lanjut bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat terhadap pesalah pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng berkata, ini kerana Perak antara negeri yang tidak mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menurut beliau, walaupun kerajaan negeri menyokong konsep Perintah Khidmat Masyarakat yang diperkenalkan KPKT, beberapa aspek penting perlu dikenal pasti termasuk kaedah pelaksanaan serta pihak yang akan dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan perintah berkenaan.
"Bagi negeri yang mengguna pakai Akta 672, kaedah pelaksanaan sudah tersedia dan jelas kerana mereka mempunyai kerangka penguatkuasaan termasuk Perintah Khidmat Masyarakat itu sendiri.
"Namun bagi negeri seperti Perak, kita perlu memperincikan kaedah serta mencapai konsensus bersama KPKT supaya pelaksanaan tidak menjadi rumit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja ke Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Perajurit Bidor, Taman Sri Bidor di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Sandrea menjelaskan, langkah KPKT itu adalah selari dengan usaha kerajaan negeri memperketatkan peraturan demi membendung masalah pembuangan sampah yang berlarutan sejak sekian lama.
"Kita masih menunggu tarikh serta garis panduan lanjut daripada KPKT yang sedang menjalankan sesi libat urus bersama negeri-negeri yang tidak mengguna pakai Akta 672.
"Kita percaya perkara ini akan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Madani melalui KPKT memaklumkan Perintah Khidmat Masyarakat terhadap pesalah pembuangan sampah kecil di tempat awam mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026, susulan pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos lalu.
Pelaksanaan itu melibatkan negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Kedah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, manakala negeri lain tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri masing-masing.
Menerusi pindaan berkenaan, individu yang disabitkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat sehingga 12 jam serta denda maksimum RM2,000, tanpa pengecualian termasuk terhadap pelancong asing.