TEHERAN - Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa Teheran bersedia dengan semua pilihan yang ada jika Washington melancarkan tindakan ketenteraan ke atas negara itu.
Menerusi wawancara pada Isnin, beliau menyatakan saluran komunikasi dengan AS kekal terbuka setelah Presiden Donald Trump menjadikan gelombang protes di Teheran sebagai alasan untuk menyerang Iran.
"Kami sedia berperang jika Washington mahu 'menguji' kami. Tahap kesiapsiagaan pada kali ini jauh lebih tinggi berbanding semasa kempen pencerobohan selama 12 hari dilancarkan AS pada Jun 2025," menurutnya.
Araghchi juga menjelaskan peningkatan jumlah kematian disebabkan 'elemen pengganas' yang menyusup masuk ke dalam kumpulan protes untuk menyasarkan pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan.
Siri bantahan terhadap krisis ekonomi bertukar ganas sejak minggu lalu selepas AS dan sekutu kuatnya, Israel campur tangan.
Demonstran turut mendakwa kumpulan bersenjata diupah pihak asing telah mencetuskan pertumpahan berdarah yang meragut lebih 600 nyawa. - Agensi