ISTANBUL – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei memuat naik satu imej di media sosial yang menggambarkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai seorang Firaun, sambil memberi amaran bahawa beliau bakal menerima nasib yang sama seperti pemerintah zalim pada masa silam.
Imej yang dikongsikan melalui akaun rasmi Khamenei di platform X baru-baru ini, memaparkan sebuah sarkofagus bercirikan Mesir purba yang retak dengan wajah Trump terpampang di bahagian hadapan, disertai hantaran ringkas berbunyi 'Like Pharaoh' (Seperti Firaun).
Dalam mesej berbahasa Parsi yang mengiringi hantaran tersebut, Khamenei menyatakan bahawa pemerintah angkuh yang cuba menguasai dunia termasuk tokoh-tokoh sejarah seperti Firaun, Nimrod, Reza Khan dan Mohammad Reza akhirnya digulingkan ketika berada di puncak kekuasaan.
“Yang ini juga akan ditumbangkan,” tegasnya.
Hantaran berunsur simbolik itu hadir ketika ketegangan antara Teheran dan Washington semakin memuncak, susulan beberapa kenyataan keras Trump terhadap kepimpinan Iran termasuk yang dikaitkan dengan protes dalaman dan ketidaktentuan politik di negara tersebut.
Iran dilanda gelombang protes sejak 28 Disember lalu, bermula di Grand Bazaar, Teheran, akibat kejatuhan mendadak nilai rial Iran serta kemerosotan keadaan ekonomi.
Demonstrasi itu kemudiannya merebak ke beberapa bandar utama lain.
Walaupun tiada angka rasmi dikeluarkan pihak berkuasa, Human Rights Activists News Agency (HRANA) yang berpangkalan di AS menganggarkan sekurang-kurangnya 544 kematian direkodkan setakat ini, melibatkan anggota keselamatan dan penunjuk perasaan, manakala lebih 1,000 cedera.
HRANA turut melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 10,681 individu ditahan dalam protes yang berlaku di 585 lokasi di seluruh negara, merangkumi 186 bandar di kesemua 31 wilayah Iran.
Sementara itu, saluran berita Al Jazeera yang memetik agensi Tasnim News Agency melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 109 anggota keselamatan Iran terbunuh dalam siri keganasan dan rusuhan yang melanda beberapa kawasan sejak beberapa hari lalu. - Agensi