MANILA - Seorang wanita di Filipina tidak menyangka patung hijau yang disembahnya selama empat tahun sebenarnya merupakan figura watak animasi terkenal, Shrek dan bukannya patung Buddha seperti disangka.
Menurut laporan South China Morning Post, wanita itu membeli arca berkenaan dari sebuah kedai tempatan dan percaya bentuknya menyerupai Buddha kerana warna hijau, tubuh gempal serta wajah yang kelihatan tenang.
Patung tersebut ditempatkan di rumahnya dan wanita itu setiap hari menyalakan kemenyan dan berdoa bagi mendapatkan keberkatan dan kesejahteraan.
Namun begitu, rahsia patung itu terbongkar selepas seorang rakan yang berkunjung ke rumah wanita tersebut menegur bahawa arca hijau itu tidak kelihatan seperti patung Buddha biasa.
Pemeriksaan teliti mendapati ia merupakan model bercetak 3D watak ogre hijau Shrek daripada siri filem animasi popular.
Difahamkan, wanita itu menerima situasi tersebut dengan hati terbuka, malah berpendapat keikhlasan dalam berdoa lebih penting berbanding rupa fizikal patung berkenaan.
Menurut laporan, wanita itu akan terus mengekalkan patung tersebut kerana percaya pengalamannya mempunyai makna tersendiri dan tidak membawa sebarang mudarat.
Kisah berkenaan tular di media sosial serta mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, termasuk ada yang berpendapat bahawa keyakinan serta niat seseorang lebih utama daripada simbol yang digunakan.