BALIK PULAU - Jumlah murid Tahun Satu di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 492 orang bagi sesi persekolahan 2026, dengan seramai 19,705 murid memulakan alam persekolahan berbanding 20,197 murid pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, penyusutan itu berkemungkinan dipengaruhi oleh faktor kadar kelahiran yang semakin menurun.
Menurut beliau, sesi persekolahan di negeri ini melibatkan 396 sekolah, manakala sebuah lagi sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di Bukit Mertajam akan memulakan sesi pada hari berikutnya, menjadikan keseluruhan 397 sekolah.
“Pada hari pertama, semua kepimpinan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah digerakkan untuk turun padang menyantuni sekolah-sekolah terlibat,” katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri sesi pemuafakatan Kementerian Pendidikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh di sini pada Isnin.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan murid Tahun Satu itu, 10,147 adalah murid lelaki manakala 9,558 murid perempuan menunjukkan murid lelaki lebih ramai pada tahun ini.
"Daripada segi komposisi kaum, 12,755 murid adalah Melayu, diikuti 5,022 Cina, 1,514 India dan 414 murid lain-lain. Kemasukan murid Tahun Satu melibatkan 271 sekolah rendah di seluruh Pulau Pinang dan setakat ini tiada sekolah mencatatkan hanya satu atau dua murid.
“Kebiasaannya, sekolah yang mempunyai bilangan murid kecil ialah Sekolah Kebangsaan Pulau Aman disebabkan faktor lokaliti pulau” katanya.
Mengulas pelaksanaan minggu pertama persekolahan, beliau berkata, tiada pembelajaran formal dijalankan sepanjang minggu pertama selaras dengan pendekatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Fokus diberikan kepada aktiviti penyesuaian murid, termasuk aktiviti bersama ibu bapa seperti gotong-royong, keceriaan sekolah serta sukan ringan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 bagi setiap murid telah dikreditkan ke akaun sekolah pada 8 Januari dan digalakkan untuk diserahkan kepada waris pada minggu pertama persekolahan.