AS akan ambil Greenland ‘dengan apa cara sekalipun’, kata Trump

Iklan
TRUMP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekali lagi mencetuskan kontroversi geopolitik apabila menegaskan Washington akan mengambil alih Greenland 'dengan apa cara sekalipun', atas alasan kepentingan keselamatan nasional dan kebimbangan terhadap pengaruh Rusia serta China di rantau Artik.

Bercakap kepada wartawan di atas pesawat Air Force One pada Ahad, Trump berkata, Greenland yang kaya dengan sumber mineral strategik perlu berada di bawah kawalan AS bagi menghalang kuasa besar lain daripada menguasainya.

Iklan
Iklan

“Jika kita tidak ambil Greenland, Rusia atau China akan mengambil alih. Saya tidak akan benarkan perkara itu berlaku,” katanya, meskipun kedua-dua negara berkenaan tidak pernah mengemukakan tuntutan rasmi ke atas wilayah tersebut.

Trump turut menyatakan kesediaan untuk mencapai perjanjian dengan Greenland, sebuah wilayah autonomi di bawah Denmark, namun menegaskan hasil akhirnya tetap sama.

Iklan

“Satu cara atau cara lain, Greenland akan menjadi milik kita,” katanya.

Kenyataan itu menimbulkan kejutan dan kebimbangan dalam kalangan pemimpin Eropah, khususnya Denmark yang menegaskan Greenland bukan untuk dijual dan masa depan wilayah itu hanya boleh ditentukan oleh rakyatnya sendiri.

Iklan

Perdana Menteri Denmark sebelum ini memberi amaran bahawa sebarang cubaan AS untuk mengambil Greenland secara paksa akan merosakkan hubungan keselamatan transatlantik yang telah terjalin selama lebih 80 tahun.

Greenland yang pernah menjadi tanah jajahan Denmark hingga 1953 memperoleh pemerintahan sendiri pada 1979 dan kini sedang mempertimbangkan kemungkinan melonggarkan hubungan dengan Copenhagen pada masa hadapan.

Namun, majoriti penduduk dan parti politik tempatan menolak sebarang bentuk penguasaan oleh AS.

Trump turut memperlekeh keupayaan pertahanan Greenland dengan mendakwa wilayah itu tidak mampu mempertahankan diri tanpa sokongan AS sambil menyatakan Rusia dan China mempunyai kehadiran ketenteraan yang semakin aktif di Artik.

Penganalisis berpandangan kenyataan Trump berpotensi meningkatkan ketegangan diplomatik antara AS dan sekutu Eropah selain mencabar prinsip kedaulatan dan hak penentuan nasib sendiri yang menjadi asas hubungan antarabangsa moden.-AFP