Israel bawa masuk 50,000 pekerja India, pekerja Palestin makin terpinggir

Iklan
Narendra Modi dan kepimpinan Israel menandatangani 16 perjanjian kerjasama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri India itu.

TEL AVIV – Narendra Modi dan kepimpinan Israel menandatangani 16 perjanjian kerjasama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri India itu, termasuk persetujuan membawa masuk 50,000 lagi pekerja India ke Israel dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut kenyataan Kementerian Luar India pada Khamis, kemasukan tambahan itu akan tertumpu kepada sektor pembuatan dan pembinaan, ketika Israel berdepan kekurangan tenaga kerja susulan sekatan terhadap pekerja Palestin sejak Oktober 2023.

Iklan
Iklan

Selepas Oktober 2023, Israel menghalang lebih 100,000 pekerja Palestin daripada memasuki negara itu.

Sebelum konflik memuncak, kira-kira 100,000 rakyat Palestin dari Tebing Barat bekerja di Israel, manakala 40,000 lagi bekerja di penempatan haram dan zon perindustrian yang dikawal Israel.

Iklan

Ketika ini, hanya sekitar 7,000 pekerja Palestin dibenarkan memasuki Israel setiap bulan, manakala 9,000 lagi bekerja di kawasan penempatan haram.

Data kerajaan Israel menunjukkan pekerja Palestin sebelum ini merangkumi 29 peratus tenaga kerja sektor pembinaan negara itu.

Iklan

Kini, kekosongan tersebut semakin digantikan oleh pekerja India yang kosnya lebih rendah.

Menjelang pertengahan 2025, lebih 20,000 pekerja India telah dihantar ke Israel, termasuk ribuan dalam sektor pembinaan.

Purata gaji bulanan di Tebing Barat dianggarkan sekitar AS$430 (kira-kira RM1,673).

Sebaliknya, gaji minimum Israel – yang terpakai kepada pekerja Palestin yang sah – mencecah sekitar AS$1,890 (RM7,534). Pekerja pembinaan mahir Palestin pula boleh memperoleh AS$2,380 (RM 9,260) atau lebih sebulan.

Perubahan dasar buruh ini menimbulkan kebimbangan bahawa peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat Palestin akan terus terjejas dalam jangka panjang.

Hubungan India–Israel semakin erat di bawah kepimpinan Modi. India yang sebelum ini dikenali sebagai penyokong kuat penubuhan negara Palestin, menjalin hubungan diplomatik penuh dengan Israel pada 1992.

Sepanjang konflik di Gaza, India dilaporkan mengekalkan beberapa bentuk kerjasama pertahanan dengan Israel. Antaranya melibatkan pembekalan dron Hermes 900 yang dihasilkan melalui usaha sama syarikat India dan Elbit Systems.

Di pentas antarabangsa, India juga berkecuali dalam beberapa resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengkritik tindakan Israel di Gaza.

Dalam ucapan di Knesset minggu ini, Modi mengecam serangan Hamas pada Oktober 2023, namun tidak menyentuh secara langsung situasi kemusnahan besar dan krisis kemanusiaan di Gaza.

Perkembangan terbaharu ini dilihat memberi dimensi baharu kepada landskap ekonomi dan geopolitik Asia Barat, sekali gus menambah tekanan terhadap komuniti pekerja Palestin yang semakin terpinggir.-Agensi