PUTRAJAYA– Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan tahun 2026 bukan sekadar tahun untuk mengejar angka pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya menjadi tahun kritikal bagi menterjemahkan agenda keadilan sosial dalam pendidikan agar tiada seorang pun anak bangsa yang terpinggir daripada arus perdana.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, naratif pendidikan negara kini beralih kepada pemerkasaan pendidikan manusiawi yang menjamin hak setiap murid untuk belajar bermula daripada peringkat prasekolah hingga ke sekolah menengah tanpa kompromi.
Berucap pada majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di sini pada Jumaat, beliau menekankan bahawa tekad tahun ini adalah untuk memastikan jurang pendidikan sama ada di bandar, luar bandar, mahupun dalam kalangan murid berkeperluan khas dirapatkan menerusi tindakan tuntas dan segera.
Menurutnya, tema 'Nyala Tekad' yang dibawa tahun ini menuntut setiap perancangan memberi impak nyata kepada murid khususnya golongan rentan yang sering berdepan cabaran akses pendidikan.
“Kita sedang membina bukan hanya sekolah yang lebih baik, tetapi masa depan yang lebih adil. Dalam perjalanan ini, kita tidak berpatah balik. Kita mara ke hadapan dengan yakin bahawa setiap anak Malaysia berhak untuk berjaya,” tegas beliau.
Fokus infrastruktur Pendidikan Khas
Menyentuh aspek inklusiviti, Fadhlina mengumumkan pembukaan 100 kelas Pendidikan Khas baharu pada tahun ini sebagai sebahagian daripada sasaran 200 kelas menjelang 2027.
"200 kelas Pendidikan Khas baharu dibuka (100 kelas 2026, 100 kelas 2027). Ini memberi peluang lebih ramai murid berkeperluan khas belajar dalam persekitaran yang sesuai dan menyokong perkembangan mereka secara optimum," katanya.
Tegas beliau, langkah agresif ini dilihat sebagai manifestasi keseriusan kementerian bagi memastikan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) mendapat akses pembelajaran dalam persekitaran yang kondusif dan tidak tercicir daripada sistem persekolahan arus perdana.
Lebih membanggakan, katanya, sejarah baharu tercipta tahun ini apabila Sekolah Sukan Malaysia Pendidikan Khas (SSMPK) yang terletak di Bandar Enstek, Negeri Sembilan akan mula beroperasi sepenuhnya.
"Sekolah ini akan memberi peluang kepada murid berkeperluan khas untuk mengembangkan bakat sukan mereka dalam persekitaran pendidikan yang inklusif," ujar Fadhlina.
Tambahnya, penubuhan sekolah khusus ini membuktikan kepercayaan kerajaan bahawa potensi murid istimewa tidak terbatas, malah mereka berhak diberikan ruang untuk mengembangkan bakat sukan secara profesional dalam ekosistem yang menyokong.
Tidak sekadar prasarana, KPM turut memperkukuh sokongan kewangan menerusi pemberian elaun RM150 kepada MBPK serta memperluas pusat pengesanan awal bagi meringankan beban keluarga yang mempunyai anak istimewa sejak usia muda.
Dalam pada itu, menyedari kepentingan teknologi untuk semua, Fadhlina turut mengumumkan penyediaan peranti Braille khusus untuk murid Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan pada tahun ini.
Ujarnya, potensi anak-anak ini tidak pernah kurang, namun sering kali yang kurang adalah peralatan sokongan, justeru kementerian komited mengisi lompang tersebut.
Pendidikan kawasan pedalaman terus diperkasakan
Beralih kepada isu akses di kawasan pedalaman, Fadhlina memberi jaminan bahawa jarak geografi tidak lagi menjadi penghalang kepada kualiti pendidikan.
Sehubungan itu, Program Sekolah Model Khas Komprehensif K11 akan diperluaskan melibatkan tiga buah sekolah pada tahun ini, diikuti empat lagi pada tahun hadapan.
"Inisiatif ini dirangka khusus untuk anak-anak di kawasan terpencil, memastikan mereka dapat menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan 5 tanpa perlu berjauhan daripada keluarga atau tercicir akibat faktor logistik.
"Mengambil contoh pendekatan inklusif yang lebih spesifik, kementerian turut melancarkan Program Khas Pendidikan Manusiawi yang menyasarkan 200 kanak-kanak kaum Penan di Belaga, Sarawak," katanya.
Langkah itu disifatkannya sebagai usaha menyantuni komuniti terpinggir secara terus, memastikan pendidikan sampai ke setiap pelosok tanah air dengan cara yang bermakna.
Dalam aspek pembudayaan ilmu, Fadhlina membawa perbandingan situasi akses bahan bacaan antara kawasan bandar dan luar bandar.
"Hari ini, murid dan guru di Nanga Ulu dan Kinabatangan menikmati judul buku yang sama seperti di Melawati dan Petaling Jaya. Jarak geografi tidak lagi menentukan peluang membaca. Inilah keadilan pendidikan yang kita perjuangkan," katanya.
Bagi menyokong usaha ini, kerjasama dengan Perbadanan Kota Buku (PKB) dan syarikat korporat akan menyaksikan sumbangan 1juta buku tulis berasaskan kertas kitar semula kepada murid B40.
Bagi tahun 2026 tumpuan agihan buku tulis ini akan diberikan kepada murid terpilih di empat negeri utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Naik taraf sekolah daif
Menyentuh mengenai fasiliti fizikal, Menteri Pendidikan itu menegaskan bahawa persekitaran sekolah yang selamat dan selesa adalah hak asasi, bukannya satu keistimewaan.
Oleh itu, sebanyak 50 buah sekolah daif akan dinaik taraf pada tahun ini bagi memastikan murid dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.
Beliau turut mengumumkan operasi 17 sekolah baharu pada tahun ini, yang terdiri daripada dua sekolah rendah dan 15 sekolah menengah, sebagai langkah segera menangani isu kepadatan murid yang diwarisi sekian lama.
Selain itu, sebanyak 1,801 buah sekolah akan dilengkapi dengan peralatan makmal komputer baharu, memastikan jurang digital antara sekolah bandar dan luar bandar dapat dirapatkan.
Tambah Fadhlina, keadilan pendidikan turut bermaksud menyediakan teknologi terkini seperti Bilik Darjah Dikuasakan Kecerdasan Buatan (AI) yang akan dirintis di 260 buah sekolah tahun ini, agar semua murid bersedia mendepani cabaran masa hadapan.
Tidak melupakan pelajar pra universiti, KPM buat julung kalinya memberikan Bantuan Persekolahan Awal (BAP) sebanyak RM150 secara sekali bayar kepada 99,678 murid Tingkatan Enam.
Menurut beliau, langkah itu adalah pengiktirafan kepada peranan pelajar Tingkatan Enam dan sokongan awal kepada kesinambungan pembelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.
Dalam pada itu, Fadhlina menyeru seluruh ekosistem pendidikan bermula daripada guru, pentadbir, ibu bapa hingga ke agensi korporat untuk bersama-sama memikul amanah tersebut.
"Ingatlah, kejayaan sebenar pendidikan bukan diukur hanya dengan pencapaian global, tetapi apabila anak-anak kita berkembang menjadi insan beradab dan berdaya tahan.
"Apabila itu berlaku, barulah kita benar-benar menunaikan amanah sebagai pendidik dan pembina bangsa," ujarnya.
INFO
11 INISIATIF KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM) UNTUK TAHUN 2026:
1. Pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026: Langkah awal sebelum pengenalan Kurikulum Persekolahan 2027, dengan penekanan kepada pengurusan diri, teknologi digital, dan pembentukan karakter.
2. Operasi 17 Sekolah Baharu: Melibatkan pembukaan dua sekolah rendah dan 15 sekolah menengah bagi menangani isu sekolah padat.
3. Naik Taraf 50 Sekolah Daif: Usaha berterusan untuk memastikan murid belajar dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.
4. Peralatan Makmal Komputer: Sebanyak 1,801 buah sekolah akan dilengkapi dengan peralatan makmal komputer yang baharu untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran efektif.
5. Sistem CCTV di Asrama: Pemasangan sistem CCTV di 333 sekolah asrama harian untuk meningkatkan tahap keselamatan murid.
6. Pembukaan Kelas Pendidikan Khas: Sebanyak 100 kelas baharu Pendidikan Khas akan dibuka pada tahun 2026 daripada sasaran keseluruhan 200 kelas menjelang 2027.
7. Operasi Sekolah Sukan Malaysia Pendidikan Khas (SSMPK): Sekolah sukan khusus untuk murid berkeperluan khas di Bandar Enstek, Nilai, akan mula beroperasi.
8. Penempatan Pembantu Guru (MyPG): Seramai 564 pembantu guru akan ditempatkan pada 20 Januari 2026 untuk mengurangkan beban tugas guru.
9. Pelantikan Pembantu Warden Asrama (MyPWA): Seramai 600 MyStep Pembantu Warden Asrama akan dilantik mulai Mac 2026 untuk kesejahteraan murid di asrama.
10. Bilik Darjah Berkuasa Kecerdasan Buatan (AI): Pelaksanaan program rintis di 260 buah sekolah pada tahun 2026 bagi membudayakan pembelajaran berasaskan teknologi AI.
11. Pelancaran Pelantar DELIMa 3.0: Pengenalan versi baharu pelantar pembelajaran yang dikuasakan oleh AI untuk pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan personal.