Anggota KPDN di sempadan dilengkapi senjata api, baju kalis peluru

Iklan
Fuziah (tiga dari kanan) menyampaikan replika kad diskaun khas kepada peniaga semasa mengadakan sesi Walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Zon Timur di pekarangan Mydin Mall Tunjung, Kota Bharu pada Jumaat. - Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa anggota, khususnya di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, telah lama dibekalkan senjata api bagi menjamin keselamatan mereka ketika bertugas.

Timbalan Menteri, Datuk Dr Fuziah Salleh bagaimanapun berkata, baju kalis peluru baharu sahaja dibekalkan dan aspek keselamatan anggota sentiasa menjadi keutamaan kementerian, lebih-lebih lagi bagi pasukan yang ditempatkan di kawasan berisiko tinggi seperti sempadan Sungai Golok.

Iklan
Iklan

“Kita memang sudah lama menyediakan senjata api kepada anggota di sempadan. Di Kelantan sendiri, anggota kita dilengkapi senjata api dan baju kalis peluru kerana kita sangat menitikberatkan keselamatan mereka semasa bertugas, khususnya ketika berada di kawasan sempadan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Zon Timur di pekarangan Mydin Mall Tunjung di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan berhubung kes keselamatan melibatkan anggota penguat kuasa di sempadan serta keperluan membekalkan senjata api kepada anggota KPDN.

Iklan

Tambahnya, langkah memperketat tahap keselamatan anggota merupakan rentetan daripada beberapa insiden keselamatan yang pernah berlaku sebelum ini di kawasan sempadan negara.

“Kita telah meningkatkan tahap keselamatan kepada anggota. Mereka sentiasa bersedia, sentiasa membawa senjata api, memakai baju kalis peluru dan sentiasa berwaspada semasa menjalankan tugas,” jelasnya.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun senjata api telah lama dibekalkan kepada anggota, penyediaan baju kalis peluru khususnya kepada pegawai yang bertugas di kawasan sempadan merupakan antara penambahbaikan keselamatan yang dilaksanakan oleh kementerian.

Ujarnya, baju kalis peluru ini baharu dibekalkan kepada mereka, terutama kepada pegawai di sempadan, sebagai langkah tambahan bagi memastikan keselamatan mereka lebih terjamin.

Media pada Rabu melaporkan kenderaan yang dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak dalam satu kejadian di sini.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian pada jam 5.40 pagi itu yang berlaku kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.